Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

XPDC kesal individu kaut untung selepas pemergian Mael

12 May 2023 | Affan Rostam

KUALA LUMPUR: Tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas pemergian vokalis kumpulan rock, XPDC, Allahyarham Mael, 55, dengan menjual barangan cetak rompak membabitkannya melahirkan rasa kesal di hati anggota kumpulan itu.

Tampil bersuara, pengurus XPDC, Mohd Yazid Selamat, berkata pihaknya akan mengambil tindakan dengan membuat laporan polis untuk mengekang perkara itu daripada berulang.

Jelasnya, anggota XPDC kecewa apabila terdapat pihak yang sewenang-wenangnya menggunakan jenama XPDC terutama untuk baju 'Tribute To Legend Mael XPDC'.

"Kami akan membuat laporan polis termasuk melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat akaun TikTok yang menjual barangan XPDC secara haram itu.

"Kami tidak boleh membiarkannya berleluasa untuk mengaut keuntungan secara mudah. Hak anggota XPDC perlu dijaga.

"Sebelum ini, kami mungkin berlembut, tetapi mulai sekarang kami akan lebih tegas," katanya kepada BH Online.

Jelas Yazid, pihak yang menghasilkan dan menjual barangan mengaitkan Allahyarham Mael tanpa mendapatkan keizinan daripada keluarga.

"Mereka meniru reka bentuk baju rasmi, kulit album dan lain-lain yang dijual kepada peminat. Harganya pun lebih kurang sama.

"Namun, bezanya kami hasilkan dengan kebenaran keluarga Allahyarham Mael.

"Apa yang kami lakukan semuanya dengan kebenaran. Pada awalnya, keluarga arwah agak keberatan, tetapi selepas berbincang, akhirnya mereka setuju.

"Ia bertujuan untuk warisnya juga. Tujuannya bagi biayai kenduri tahlil, siapkan batu nesan dan kubur. Juga boleh digunakan untuk infak bagi kebaikan arwah," katanya.

Ada pihak yang sewenang-wenangnya menggunakan jenama XPDC terutama baju ‘Tribute To Legend Mael XPDC’ yang dijual secara haram di aplikasi TikTok.
Ada pihak yang sewenang-wenangnya menggunakan jenama XPDC terutama baju ‘Tribute To Legend Mael XPDC’ yang dijual secara haram di aplikasi TikTok.

Mengulas lanjut, Yazid berkata, anggota XPDC lain turut terkejut apabila mengetahui barangan cetak rompak sudah dijual secara berleluasa terutama menerusi aplikasi TikTok.

"Kami sudah memberi amaran, malah adik arwah, Syed Ali juga tidak membenarkannya. Ini kerana, sekiranya dijual secara cetak rompak, anggota XPDC dan keluarga arwah tidak akan menerima sebarang hasil.

"Perkara inilah yang kami cuba elakkan. Pihak terbabit kaut keuntungan secara 'atas angin' sahaja. Mereka hanya fikirkan keuntungan berbanding rezeki halal.

"Contohnya, banyak royalti hasil jualan baju yang diterima oleh waris arwah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Sabtu lalu. Inilah yang kami mahukan," katanya.

Pada 24 April lalu, Allahyarham Mael menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor, akibat sesak nafas, kira-kira jam 8.41 malam.

Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar, Johor.