Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) memandang serius dakwaan konon ada segelintir syarikat produksi yang sanggup memalsukan sijil vaksinasi bagi mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Biarpun belum ada pihak tampil mengemukakan aduan dan laporan mengenai perkara itu, PROFIMA menganggap perbuatan tidak bertanggungjawab itu perlu ditangani segera kerana membahayakan keselamatan pihak lain.
Presiden PROFIMA, Khir Mohd Noor Khir, berkata tindakan memalsukan sijil vaksinasi bagi tujuan mendapatkan SPP membabitkan masa hadapan industri kreatif pada era pandemik.
"Setakat ini, PROFIMA belum terima aduan ada pihak yang memalsukan sijil vaksinasi. Bagaimanapun, perkara ini dipandang serius kerana membabitkan nyawa ramai orang.
"Kita sekarang ini hidup dikelilingi COVID-19. Jadi, bukan hanya pelakon perlu melengkapkan dua dos suntikan vaksin, sesiapa yang keluar masuk set penggambaran juga perlu mendapatkannya seperti pelakon tambahan.
"Usaha ini bagi mengelak kecelakaan yang boleh membabitkan semua orang di set penggambaran dan industri kreatif secara keseluruhan," katanya kepada BH Online.
Ditanya tindakan diambil jika PROFIMA mendapat tahu ada individu memalsukan sijil vaksinasi, Khir berkata, pihaknya tidak teragak-agak menggantungkan keahlian individu terbabit.
"Selepas digantung keahlian, kita akan bawa kes ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti isu penyalahgunaan dadah, baru-baru ini.
"Biarlah polis uruskan. Kalau polis tidak ambil tindakan, mereka yang melakukan kesalahan ini (memalsukan sijil vaksinasi) tidak akan rasa serik," katanya.
Khir percaya kegiatan pemalsuan sijil vaksinasi dilakukan individu yang bertanggungjawab memohon SPP.
"Kita tidak boleh menyalahkan kru produksi yang memalsukan sijil vaksinasi. Saya percaya dalam hal ini, penerbit yang membenarkan perkara ini berlaku.
"Saya percaya kru produksi tidak mungkin berani hendak memalsukan sijil vaksinasi.
"Pihak yang memohon SPP bukanlah kru. Sebaliknya, penerbit di mana dia perlu memeriksa semua pihak yang terbabit dalam penggambaran itu apakah mereka sudah menerima suntikan vaksin lengkap dan melakukan ujian calitan COVID-19 tiga hari sebelum penggambaran.
"Dalam hal ini, kru dan artis perlu menghantar sijil vaksinasi barulah SPP boleh diperoleh dan dibenarkan masuk ke set.
"Jadi, tidak mungkin kerja pemalsuan ini dilakukan kru kerana hukuman kepada kegiatan ini bukanlah kecil, ia membabitkan penipuan serius," katanya.
Khir berharap penerbit perlu melaksanakan kerja dengan amanah dan tidak menganggap pemalsuan sijil vaksinasi ini sebagai perkara main-main.
Tambahnya, pihak berwajib perlu menyenaraikan pelakon dan kru yang enggan mendapat suntikan vaksin COVID-19 agar individu terbabit tidak dibenarkan kembali ke lapangan.
"Kita kena senaraikan nama mereka, supaya orang yang belum divaksin dapat dikenal pasti. Jangan benarkan orang ini kembali ke lapangan kerana ia boleh mendatangkan masalah.
"Semua orang sudah tidak bekerja hampir dua tahun dan membuak-buak mahu bekerja. Jadi, janganlah mementingkan diri sendiri. Sekiranya mahu bekerja, kenapa tidak mahu vaksin?
"Sikap ini boleh mengancam nyawa sepasukan. Virus ini bukan datang macam bola, benda yang kita boleh nampak.
"Sebaliknya, datang tanpa kita boleh nampak. Jujur saja, kalau tak mahu vaksin, jangan kerja," katanya.