Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Ibu Liyana Jasmay meninggal dunia akibat kanser limfoma

12 May 2023 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Ibu kepada pelakon, penyanyi, pengarah dan penerbit, Liyana Jasmay, Datin Habsah Simpon, 66, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser limfoma tahap empat, jam 8.30 pagi tadi.

Berita pemergian arwah Habsah itu disahkan pengurus Liyana, Norhazwani Jamil.

Norhazwani berkata, arwah sudah lama mengidap penyakit kanser limfoma dan dimasukkan ke HKL sebelum Aidilfitri lalu selepas keadaannya semakin serius.

"Arwah mengidap kanser limfoma dan hanya keluarga terdekat sahaja yang mengetahuinya.

"Bagaimanapun, keadaannya semakin serius dan dimasukkan ke HKL sejak dua minggu lalu.

"Melihat keadaan semakin membimbangkan, doktor memanggil semua ahli keluarga untuk melawat arwah.

"Arwah meninggal dunia dalam keadaan tenang jam 8.30 pagi tadi di sisi anak-anak," katanya kepada BH Online.

Liyana reda atas pemergian ibunya, Allahyarham Habsah pagi ini.
Liyana reda atas pemergian ibunya, Allahyarham Habsah pagi ini.

Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Al-Iman, Kemensah Height, Hulu Klang dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemensah selepas solat Jumaat.

Sementara itu, Liyana atau lebih mesra disapa Nana reda dengan pemergian arwah ibunya.

"Saya reda dengan qada dan qadar," katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp yang dikirimkan.

Terdahulu, pada Disember 2021, bapanya, Datuk Jasmay Md Shah meninggal dunia akibat kanser paru-paru selepas bertarung dengan penyakit itu selama setahun.