Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Zizi Kirana sedia terima lelaki pilihan keluarga

25 Jul 2019 | Farhana Ab Rahman

KUALA LUMPUR: Penyanyi Zizi Kirana, 34, bersikap terbuka dalam soal pasangan hidup, malah tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan lelaki pilihan keluarga.

Zizi berkata, dia sudah buntu menanti kehadiran jejaka yang memenuhi kriteria yang diimpikan, malah bersedia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada ibunya untuk mencari lelaki terbaik.

Bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim ketujuh itu percaya, ibunya lebih arif dalam menilai lelaki yang bakal menjadi pasangan hidupnya.

“Saya sudah jelak bercinta, namun masih belum ditakdirkan bertemu jodoh. Malas rasanya terus memikirkan soal itu, jadi lebih baik saya serahkan kepada ibu kerana dia lebih tahu lelaki bagaimana yang terbaik untuk saya.

“Saya terima sekiranya sudah tertulis hanya bertemu cinta sejati selepas berkahwin. Soal rupa, asalkan sedap mata memandang, itu sudah memadai. Pada usia sekarang, saya tidak lagi meletakkan paras rupa sebagai kriteria utama.

“Paling penting, bakal suami saya mesti pandai berjenaka kerana saya mudah tertarik dengan lelaki yang kelakar. Dia juga perlu ringan tulang kerana saya tidak dapat hidup dengan orang malas,” katanya.

Beralih mengenai perkembangan kerjaya, Zizi atau nama penuhnya Nur Fazelah Mad Tahil, berkata dia akan terus memperjuangkan irama hip-hop yang sudah sebati dalam dirinya sejak menyertai kumpulan The Fabulous Cats.

“Selepas bergerak solo pada 2015, saya lihat nama Zizi Kirana semakin kukuh, malah saya sudah boleh berdiri tanpa dikaitkan dengan kumpulan lama. Selagi diterima, saya akan setia membawakan lagu hip-hop dan rap.

“Selain itu, saya turut muncul dengan single terbaru, Starlela ciptaan Hafiz Hamidun. Menerusi lagu itu, saya bergandingan dengan Ifa Raziah dan Bella Astillah,” katanya.