Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Rajuk hatinya bukan seketika, namun, penyanyi bersuara lunak merdu, Shidee pernah menghilangkan diri dengan meninggalkan dunia nyanyian selama 14 tahun.
Puncanya, terlalu kecewa dengan syarikat rakaman apabila kehendak hatinya tidak dapat dituruti.
Dalam tempoh 14 tahun, Shidee yang pernah diangkat sebagai Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 1987 sanggup menolak tawaran nyanyian disebabkan terbawa-bawa emosi dan kekecewaannya.
Diasak punca merajuk terlalu lama, penyanyi yang popular menerusi lagu Sayang Semuanya Sudah Terlambat, Bayangan Wajahmu dan Amy itu mendedahkan, ia disebabkan syarikat rakaman enggan menggunakan khidmat komposer yang juga Seniman Negara, Datuk Seri Ahmad Nawab selaku penerbit album keempat.
"Jujurnya, saya sudah biasa bekerja dengan Ahmad Nawab. Saya tak dapat nafikan, menerusi sentuhannya, nama saya meledak, suatu ketika dahulu.
"Jadi, apabila syarikat rakaman mahu menukar komposer lain tanpa pengetahuan, tentulah saya tidak boleh terima.
"Saya beritahu komposer dilantik agar tidak meneruskan. Ini kerana saya terlalu sayangkan Ahmad Nawab.
"Hubungan saya dengan syarikat rakaman memang berantakan ketika itu. Saya bertemu Ahmad Nawab untuk mengadu, tetapi saya tak boleh buat apa-apa kerana masih terikat kontrak satu album dengan syarikat.
"Jadi, mahu tidak mahu, saya perlu meneruskan juga walaupun hati tidak rela," dedah Shidee kepada BH Online.
Baru-baru ini, Shidee menjayakan persembahan Konsert Tribute Seniman Negara Datuk Seri Ahmad Nawab di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.
Pemilik nama Rashid Abdul Wahab, 63, itu mengakui, dia meneruskan juga rakaman lagu sekadar mengikut syarat.
"Bagi membalas dendam ke atas syarikat rakaman saya langsung tidak membantu melakukan apa-apa promosi untuk album berkenaan.
"Saya beri pelbagai alasan, antaranya saya demam, sakit dan sebagainya setiap kali diminta saya menjayakan sesi promosi,
"Memang saya tidak beri kerjasama langsung dalam rangka promosi, lantaran terlalu marah dengan apa yang dilakukan terhadap saya," dedahnya lagi.
Bagaimanapun, Shidee mengakui, kehidupannya sukar selepas meninggalkan kerjaya nyanyian, lantas terpaksa melakukan pelbagai kerja demi kelangsungan hidup sehingga terpaksa menjual kereta sport miliknya disebabkan kekangan kewangan.
Mujur, katanya, dia masih belum berumahtangga, justeru tidak risau soal nafkah buat isteri dan anak.
Namun, penyanyi kelahiran Bagan Datoh, Perak itu berkata, percubaan terjun dalam bidang perniagaan jam tangan membuahkan hasil pada 1995.
Katanya, bukan sahaja perlu berulang alik antara Malaysia dan Brunei Darussalam, namun, mampu menjana pendapatan sehingga RM50,000 dalam tempoh dua minggu.
"Hampir tujuh tahun berulang alik, saya akhirnya berhenti berniaga pada 2002 kerana menjaga arwah ibu, Allahyarham Busu Mat Wali yang sedang sakit di Perak. Segala hasil titik peluh menjual jam tangan saya laburkan untuk perubatan arwah.
"Saya menjaga arwah selama tiga tahun sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 2005.
"Saya akui tidak melakukan apa-apa kerja selama tempoh tiga tahun. Wang simpan dihabiskan buat perubatan arwah ibu.
"Namun, saya akhirnya buat keputusan kembali ke Kuala Lumpur untuk aktif menyanyi semula selepas dua bulan arwah meninggal dunia," kaanya.
Tak kisah memulakan langkah semula, Shidee mulanya menyanyi di sebuah restoran di Putrajaya.
"Dari situ, ada rakan menghantar nama saya untuk menyertai uji bakat program realiti, Gegar Vaganza musim kelapan.
"Siapa sangka nama saya lolos sehingga dipilih sebagai peserta program GV8," katanya.
Sejak menyertai program GV8, tahun lalu, Shidee tidak menafikan, rezekinya bidang nyanyian kembali melimpah-ruah.
"Alhamdulillah, saya tidak menyangka GV8 membuka ruang rezeki selepas sekian lama menyepi.
"Ke mana sahaja pergi ada sahaja yang menegur. Berbanding 14 tahun lalu ketika menyepi tiada siapa mengenali diri saya, walaupun pernah meledak menerusi beberapa lagu.
"Saya memang berhasrat tampil dengan single baharu. Setakat ini, saya hanya sempat menghasilkan lagu raya.
"Namun, jika ada komposer muda berminat bekerjasama, saya tidak kisah asalkan karya bersesuaian dengan jiwa saya," katanya.