Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Filem 'box office' Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan terus mencetuskan fenomena apabila mengaut lebih RM71.27 juta selepas tiga minggu ditayangkan mengikut data diperoleh penerbit, Studio Kembara Sdn Bhd.
Fenomena luar biasa dicetuskan filem genre epik hasil garapan sutradara muda, Syamsul Yusof meletakkan filem itu kekal nombor satu dalam carta panggung wayang tempatan dan kutipan tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah industri perfileman negara.
Penerbit, Abdul Rahman Mat Dali bersyukur filem pertama terbitan syarikatnya diterima baik penonton.
"Terus terang, saya tidak jangka filem Mat Kilau mampu mencetuskan fenonema begini. Tujuan saya terbitkan filem ini adalah pertamanya, untuk memperkenalkan hiburan bermanfaat kepada penonton.
"Tetapi tidak sangka daripada niat itu, dua perkara kami dapat iaitu isi waktu penonton dengan hiburan yang bermanfaat dan meraih kutipan yang tidak disangka-sangka.
"Alhamdulillah, kami amat bersyukur kerana tidak sangka filem Mat Kilau dapat kutipan sebanyak ini. Saya tidak sangka sama sekali filem ini kena dengan jiwa penonton sehingga ada yang menyaksikannya berulang kali," katanya kepada BH Online.
Abdul Rahman berkata, melihat panggung wayang masih penuh, tidak mustahil filem yang menelan bajet RM8 juta itu boleh mencapai kutipan lebih RM80 juta.
Ini berdasarkan jangkaan kutipan daripada pawagam di Brunei dan Singapura manakala filem itu bakal ditayangkan di Indonesia pada 31 Ogos depan.
"Tidak mustahil jika kena pada gaya, Mat Kilau boleh mencecah kutipan sehingga RM100 juta. Sambutan penonton di panggung wayang semalam masih rancak, seolah-olah filem Mat Kilau baru menjengah pawagam," katanya.
Ditanya sampai bila filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan ditayangkan di pawagam tempatan, Abdul Rahman berkata, tiada tarikh akhir ditetapkan selagi pawagam masih mahu memberi slot tayangan atas permintaan penonton.
Sementara itu, Syamsul bersyukur atas sambutan baik penonton terhadap filem itu.
"Allah maha besar terima kasih semua penonton," katanya dalam hantaran dimuat naik di akaun Instagram (IG), semalam.
Syamsul menyifatkan momentum filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan masih kuat, mungkin ditambah dengan faktor cuti umum.
Jumlah kutipan filem Mat Kilau memecah rekod filem paling laris di Malaysia yang sebelum ini dipegang sebuah lagi karya Syamsul iaitu Munafik 2 sebanyak RM48 juta pada 2018.