Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Salamiah Hassan pakai tudung selepas kematian suami

19 Mar 2023 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran, Salamiah Hassan, 72, kini tampil berhijab selepas empat bulan pemergian suami tercinta, Allahyarham Gerald Hughes atau Gerry.

Bagaimanapun, Salamiah berkata, dia tidak mahu perubahan digembar-gemburkan dann sudah sampai masanya berhijrah.

"Tiada apa yang perlu saya komen. Saya memang nak pakai tudung, tetapi saya tak suka perkara ini menjadi satu isu besar.

"Rasanya anda pun tahu saya menjaga privasi. Jadi, apa yang boleh dikatakan saya berhijrah sebab saya sendiri nak memakainya, bukan berkaitan perkara lain.

"Saya juga baru habis tempoh edah dan mahu kembali aktif bekerja," katanya kepada BH Online.

Berkongsi lanjut keadaannya selepas pemergian suaminya akibat kanser kolon pada 4 November tahun lalu, Salamiah tidak menafikan masih bersedih, namun tetap menjalani kehidupan dengan baik.

"Apa yang saya lalui sama seperti orang lain yang pernah kehilangan insan tersayang. Saya tiada kuasa dengan apa yang sudah Allah tentukan.

"Saya harus reda, terima hakikat dan teruskan kehidupan. Nak kata kuat, saya hanya manusia biasa. Pastilah masih ada rasa sedih, tetapi Alhamdulillah, saya okay sahaja.

"Lagipun, bolehkah kita hilangkan kesedihan begitu sahaja? Melainkan saya sendiri mengawalnya dengan kekuatan yang Allah berikan," katanya.

Salamiah tidak menafikan masih bersedih atas pemergian arwah Gerry, namun tetap menjalani kehidupan dengan baik. - Foto IG Salamiah Hassan
Salamiah tidak menafikan masih bersedih atas pemergian arwah Gerry, namun tetap menjalani kehidupan dengan baik. - Foto IG Salamiah Hassan

Terdahulu, Allahyarham Gerry meninggal dunia akibat menghidap kanser kolon di Burnie, Tasmania, Australia pada 4 November tahun lalu, ketika Salamiah berada di Malaysia untuk menjayakan persembahan pada acara.

Salamiah menamatkan zaman solo selama 35 tahun apabila memilih Allahyarham Gerry sebagai suami pada 1 September tahun lalu.

Penyanyi lagu Gelombang itu dan arwah yang juga duda tiga cahaya mata mengenali antara satu sama lain sejak 15 tahun lalu.

Sebelum ini, Salamiah pernah mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Raja Haron Raja Aziz dan berpisah pada 1986.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Atilia dan Raja Ahmad Shah. Bagaimanapun, bekas suaminya meninggal dunia akibat masalah jantung pada 28 Julai lalu.