Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Ramadan terakhir Mimi Lana sebelum bergelar isteri

02 Apr 2023 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Menyambut Ramadan terakhir sebagai wanita bujang, pelakon, Mimi Lana, 27, hanya mampu memohon orang ramai mendoakan yang terbaik buatnya dan Syafiq Kyle.

Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, doanya dapat melalui Ramadan dan Syawal dengan baik, sebelum diijabkabulkan bersama buah hatinya itu.

"Insya-Allah, mudah-mudahan semuanya baik-baik dan berjalan dengan lancar," katanya ringkas.

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Mimi bakal muncul dengan filem berjudul Seindah Kasih The Movie. Menariknya, Mimi memainkan watak wartawan digital.

"Filem ini mengisahkan enam warga kerja dan peminat industri hiburan Malaysia. Kesibukan kerja hiburan menjadikan tugasan harian lebih mencabar ketika Ramadan dan Syawal," katanya.

Selain Mimi, filem ini turut dibintangi Syafiq, Siti Saleha, Anas Ridzuan, Luqman Hafidz dan Shasha Abedul. Ia boleh distrim menerusi platform penstriman Tonton mulai 12 April depan.

Mimi bakal muncul dengan filem berjudul Seindah Kasih The Movie dan memainkan watak wartawan digital. - NSTP/Genes Gulitah
Mimi bakal muncul dengan filem berjudul Seindah Kasih The Movie dan memainkan watak wartawan digital. - NSTP/Genes Gulitah

Selepas satu demi satu penggambaran, Mimi berkata, dia kini mengambil masa berehat sempena Ramadan.

"Selepas bertahun-tahun barulah tahun ini saya dapat mengosongkan Ramadan dan tidak bekerja.

"Jadi, saya pilih berehat sekejap sebab bertahun-tahun asyik bekerja. Tidak dinafikan, bila cakap tak mahu bekerja pada bulan puasa, tetapi akhirnya ada sahaja kerja di lokasi penggambaran.

"Tambahan fasa pandemik COVID-19 berakhir, jadi kena cuba selesaikan kerja yang tertunggak.

"Syukur saya dapat bercuti dan meluangkan masa dengan keluarga di kampung sehingga Aidilfitri," katanya.

Mimi dan Syafiq mula berkongsi mengenai hubungan istimewa pada 2019.

Pasangan itu pernah putus pada Mei 2020 selepas lima tahun bersama. Namun, hubungan cinta bertaut semula selepas berkongsi gambar dalam media sosial, setahun kemudian.