Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parti Warisan (WARISAN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong, Perlis, Khir Mohd Noor mahu memanfaatkan pengalaman lebih dua dekad dalam bidang seni untuk memajukan industri pelancongan negeri itu.
Khir atau nama sebenar, Mohamad Khair Mohd Noor, 62, juga mahu menyediakan peluang pekerjaan, terutama kepada remaja dan suri rumah jika diberi mandat penduduk Bintong.
Khir yakin agenda itu itu dapat direalisasikan dengan kepakaran serta rangkaian hubungan dimilikinya.
"Selepas 16 tahun saya memimpin persatuan yang menabur khidmat kepada kru produksi di belakang tabir di Malaysia, kini tibalah masanya untuk saya berjasa kepada masyarakat Bintong.
"Sebagai bekas Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), ada lebih 100 tugas yang pernah saya kendalikan.
"Untuk menyediakan peluang pekerjaan, kita kena ada kemahiran dan peluang itulah yang akan saya berikan kepada bakal pengundi.
"Contohnya, jika ada golongan remaja atau suri rumah yang ingin menjadi jurusolek, kita akan bawa jurusolek profesional untuk membimbing mereka.
"Selain itu, kita juga boleh membuka ruang kepada golongan remaja untuk mereka membina kerjaya dalam industri perfileman dan penerbitan televisyen (TV).
"Dengan pengalaman serta jaringan sosial yang saya ada, rasanya perkara itu bukanlah suatu masalah untuk saya," katanya kepada BH Online.
Pernah membesar di Bintong dan bersekolah di daerah itu hingga tamat belajar, Khir yang juga pelakon, pengarah dan penerbit, bertekad memperkasakan industri pelancongan di Perlis yang mempunyai potensi dikembangkan.
"Walaupun dilahirkan di Perak, tetapi disebabkan bapa saya bertugas sebagai askar, kami sekeluarga banyak merantau.
"Saya pernah menetap di Bintong sehingga tamat belajar. Adik beradik saya pun ada yang masih tinggal di situ.
"Jadi, Bintong bukanlah sesuatu yang asing buat saya.
"Sebagai penggiat industri, saya mahu memanfaatkan khazanah yang ada di Perlis untuk menjadi tarikan kepada penggiat industri perfileman melakukan penggambaran.
"Kita juga boleh memberi insentif khas kepada mereka seperti kemudahan logistik dan khidmat katering.
"Sambil bekerja, mereka dapat melihat pemandangan menarik serta berbelanja di Perlis. Sekurang-kurangnya dapat membantu peniaga kecil yang mengusahakan perniagaan hasil kraftangan dan kuih tradisional," katanya.
Mengulas pemilihan WARISAN sebagai tiket untuk bertanding, pengarah drama bersiri Romeo & Juliet ini menyifatkan parti terbabit tidak banyak 'drama' berbanding pertubuhan politik lain.
"Sepanjang pengamatan saya, WARISAN adalah parti politik yang tidak banyak masalah dalaman.
"Parti lain saya lihat terlalu banyak persengketaan, terutama dalam aspek berebut jawatan atau kerusi.
"Lagipun, sejak 10 tahun lalu saya memang sudah berhasrat untuk terjun dalam dunia politik. Kebetulan tawaran datang daripada WARISAN, jadi peluang itu tidak harus dilepaskan.
"Matlamat saya untuk bertanding ini cukup jelas. Saya bukanlah bercita-cita besar seperti memegang jawatan tinggi. Disebabkan itu, saya bertanding peringkat DUN.
"Pendekatan yang akan saya gunakan ketika berkempen lebih ke arah diplomasi. Jika ditakdirkan menang, saya akan panggil semua pihak lawan untuk duduk semeja dan beri idea bagaimana mahu memajukan Bintong," katanya.