Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Proses mediasi Puteri Sarah, bekas pekerja gagal capai penyelesaian

01 Aug 2024 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Proses mediasi antara pelakon Puteri Sarah Liyana dengan bekas pekerjanya, Nazatul Nazira berhubung saman fitnah dan pecah amanah dilanjutkan kepada 25 September depan selepas gagal mencapai jalan penyelesaian.

Peguam mewakili Puteri Sarah, Azmi Mohd Rais berkata, pegawai mediasi mencadangkan proses diteruskan ke sesi kedua sebelum kes dibawa ke mahkamah.

"Pegawai mediasi mencadangkan beberapa solusi untuk kes pecah amanah diselesaikan, tetapi gagal.

"Solusi dicadangkan ketika proses mediasi tidak boleh didedahkan kerana ada sesi kedua.

"Bagaimanapun, kami akur dengan arahan pegawai mediasi dan akan berjumpa semula seperti tarikh ditetapkan," katanya yang ditemui selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, petang tadi.

Sementara itu, Puteri Sarah berkata, dia sudah cuba berbincang dan mencari penyelesaian terbaik ketika proses mediasi.

Katanya, pegawai mediasi juga sudah mendengar penjelasan kedua-dua pihak dan memberikan jalan penyelesaian terbaik, namun proses masih gagal.

"Saya rasa kita boleh pertimbangkan solusi dikemukakan dan selesaikan masalah ini dengan tenang, kenapa perlu tertekan?

"Memang saya nak menuntut hak saya, tetapi kalau boleh dengan cara yang paling tenang dan terbaik untuk kedua-dua pihak," katanya

Diminta mengulas kenyataan Nazirah dirinya difitnah dan nekad membawa kes ke muka pengadilan berikutan nama baiknya terjejas, Puteri Sarah bertanya apa fitnah yang dilemparkan terhadap wanita itu.

"Saya fitnah dia? Kehidupan saya pun terjejas, sedangkan itu adalah syarikat milik saya.

"Dia tiada kena mengena kerana rakan kongsi saya hanyalah Andi Arsyil dari Jakarta, Indonesia," katanya.

Terdahulu, Puteri Sarah memfailkan saman dan tuntutan RM1 juta sebagai ganti rugi terhadap bekas pekerja, Nazatul Nazira yang didakwa menyebarkan fitnah.