Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Masih ingatkah kisah meruntun hati pasangan suami isteri, Pak Mat lakonan Allahyarham Ismail Din dan Mak Jah (Fauziah Nawi) yang diabai anak sendiri dalam drama melankolik, Pondok Buruk yang pernah mencetuskan fenomena, lebih dua dekad lalu?
Tatkala menonton drama ini, pasti timbul rasa geram terhadap tiga anak derhaka lakonan hebat Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rosyam Nor dan Vanidah Imran atas perlakuan mereka dalam drama sentuhan pengarah hebat, Rashid Sibir itu.
Menyambung kisah dipaparkan dalam naskhah itu, bersedialah dengan emosi dan perasaan sama menerusi telefilem Quran Pondok Buruk yang bakal menemui penonton menjelang musim perayaan ini.
Berkongsi khabar gembira itu, Rashid berkata, Quran Pondok Buruk yang menjadi kesinambungan kepada drama ikonik Pondok Buruk cukup istimewa dan memberi makna tersendiri buat dirinya.
"Sebagai pengarah, saya sangat teruja kerana dapat menyatukan semula pelakon asal drama ini selepas dua dekad Pondok Buruk menemui penonton di televisyen (TV).
"Sebaik sahaja stesen penyiaran beri lampu hijau untuk saya hasilkan telefilem kesinambungan drama Pondok Buruk, saya segera hubungi semua pelakon asal kerana mahu mereka terbabit dalam projek ini.
"Sebagai drama yang pernah mencetuskan fenomena, saya fikir pembabitan mereka dalam naskhah ini adalah perlu kerana kisah yang kita paparkan ada kaitan dengan apa yang mereka pernah lakukan sebelum ini.
"Meskipun sudah 20 tahun berlalu, namun, keserasian setiap watak terjalin cukup kuat terutama watak Mak Jah dan Usop (Rosyam) yang saya masih boleh nampak kemanjaan mereka sama seperti dalam Ponduk Buruk.
"Pemilihan pelakon asal juga penting kerana kita mahu melihat transisi mereka kerana dalam drama Pondok Buruk mereka masih muda. Tapi dalam telefilem kali ini, mereka sudah berusia," katanya kepada BH Online.
Memulakan penggambaran bulan lalu, Rashid mengaku cabaran utama yang dihadapi adalah mengumpulkan semua pelakon gred A pada suatu masa.
"Mereka semua ada jadual yang cukup ketat. Disebabkan itu, saya terpaksa merombak skrip asal untuk disesuaikan dengan latar masa dan lokasi membabitkan mereka.
"Cabaran lain adalah bagaimana untuk kita hidupkan kembali watak Mak Jah kerana semua tahu Mak Jah sudah meninggal dunia dalam Pondok Buruk 2.
"Bagaimanapun, kita ada cara bagaimana watak Mak Jah itu dapat dihidupkan kembali, sekali gus memberi impak yang cukup besar terhadap anaknya," katanya.
Masih mahu bermain dengan emosi penonton, Rashid memberitahu, banyak momen syahdu dipaparkan dalam karyanya itu yang mampu membuatkan air mata berjuraian.
"Apa yang cuba kita paparkan dalam drama ini adalah gelodak jiwa yang berlaku pada anak Pak Mat dan Mak Jah selepas mereka tiada.
"Kisah mengenai kekesalan yang tidak berpenghujung, rindu yang tidak tertanggung dan balasan yang diterima atas perbuatan derhaka mereka.
"Suka atau tidak, kita kena terima hakikat elemen sedih, air mata cukup sinonim dengan Hari Raya.
"Saya mahu penonton yang menyaksikan drama ini menangis di depan TV dan menjadi bahan bualan selepas ditayangkan," katanya.
Rashid juga berharap pembikinan telefilem ini dapat membuka mata pihak tertentu supaya tidak lagi menyajikan karya klise kepada penonton.
"Lama rasanya kita tak tonton drama bersifat kekeluargaan seperti ini. Cukup-cukuplah dengan drama berebut lelaki.
"Saya tahu ramai yang begitu dahagakan drama sebegini. Maklum balas yang diterima daripada penonton terutama penonton generasi muda selepas saya mempromosikan drama ini di aplikasi TikTok, baru-baru ini membuktikan orang muda gemarkan drama berat jika kena dengan cita rasa mereka," katanya.
Telefilem Quran Pondok Buruk bakal disiarkan Astro menjelang Aidilfitri kelak. Penggambaran mengambil masa 10 hari membabitkan lokasi di Kuala Lumpur, Shah Alam dan Ijok.
Terdahulu, telefilem Pondok Buruk disiarkan pada 2000 dan disusuli Pondok Buruk 2 pada 2002.