Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Nana cemerlang selepas diuji kontroversi

17 Nov 2021 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Tidak sia-sia perjuangan kelab peminat, Siti Nordiana FC apabila mampu mempertahankan trofi Anugerah FANtastik Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

Malah, usaha gigih Siti Nordiana FC menghadiahkan dua trofi kepada penyanyi kesayangan mereka, Siti Nordiana.

Pada malam kemuncak ABPBH 34 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) Sabtu lalu, Nana atau nama sebenarnya, Siti Nordiana Alias, 37, merangkul trofi Penyanyi Wanita Popular Xiaomi dan Artis Versatil Popular.

Bagi kategori Artis Versatil Popular, penyanyi, pelakon dan pengacara itu berjaya mempertahankan trofi kemenangan dua tahun berturut-turut, manakala kembali merampas trofi Penyanyi Wanita Popular Xiaomi daripada Wany Hasrita.

Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana mengakui, ia hasil sokongan padu dan kesetiaan Siti Nordiana FC.

"Kemenangan ini disebabkan kerja keras Siti Nordiana FC yang tidak pernah jemu memberi sokongan dan mengundi.

"Sejujurnya, saya tidak pernah memaksa kelab peminat untuk mengundi. Malah, saya sering memberitahu tidak kisah jika mereka tidak mengundi.

"Saya kasihan melihat ahli kelab peminat bekerja keras. Tetapi, mereka tetap mahu mengundi. Jadi, saya perlu menyokong dan memberi semangat kepada mereka," katanya kepada BH Online.

Kata Nana, lebih membuatkannya terharu apabila peminat terus menyokong walaupun tiada sebarang produk baharu, tahun ini.

Usaha gigih Siti Nordiana FC menghadiahkan tiga trofi kepada Siti Nordiana apabila merangkul Penyanyi Wanita Popular Xiaomi, Artis Versatil Popular dan Anugerah FANtastik Popular, ABPBH 34. - Foto NSTP
Usaha gigih Siti Nordiana FC menghadiahkan tiga trofi kepada Siti Nordiana apabila merangkul Penyanyi Wanita Popular Xiaomi, Artis Versatil Popular dan Anugerah FANtastik Popular, ABPBH 34. - Foto NSTP

Bagi kategori Artis Versatil Popular, artis serba boleh berasal dari Sendayan, Negeri Sembilan itu menewaskan saingan terdekat, Janna Nick, Erra Fazira, Sissy Imann dan Mira Filzah.

"Jika diikutkan, ramai calon lebih layak. Namun, ABPBH adalah pilihan peminat untuk artis kesayangan, jadi saya anggap rezeki lebih berpihak kepada saya.

"Saya lihat kemenangan ini dari sudut positif iaitu memberi semangat untuk memperbaiki nyanyian, lakonan dan pengacaraan," ulasnya.

Sementara itu, biarpun menerima saingan rapat daripada Ernie Zakri, Sissy Imann dan Wany Kayrie, trofi Penyanyi Wanita Popular Xiaomi yang digenggam menyaksikan persaingan dua penjuru antara Nana dan Wany.

Pada ABPBH 31, Wany membuatkan penyanyi lagu Hatiku Milikku itu 'berputih mata' apabila merampas semula gelaran itu daripada Nana.

"Walaupun berjaya memenangi kategori ini, ia bukan bermakna saya merampas trofi semula itu, tetapi, situasinya lebih kepada rezeki.

"Tidak dinafikan, single berjudul Angkara banyak membantu dari segi populariti kerana karya ini dipilih menjadi runut bunyi drama Angkara Cinta dan Rindu Awak Separuh Nyawa," kata Nana.

Akuinya, dia bukan sahaja menyifatkan kejayaan merangkul tiga trofi ABPBH 34 sebagai kenangan paling manis, malah menjadi hadiah ulang tahun kelahirannya pada 22 November ini.

"Tahun ini, saya melalui banyak perkara. Setiap manusia tidak lepas daripada ujian hidup.

"Justeru, saya anggap kemenangan ini sebagai anugerah daripada Allah kerana setiap ujian diberi akan digantikan dengan perkara lebih baik," ungkapnya.