Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad kerugian RM2,540 apabila terlepas Konsert Billie Eilish : Happier Than Ever, The World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi, yang disangka berlangsung dua malam.
Nabil yang membeli lima tiket untuk dirinya, isteri dan anak-anak, bagaimanapun bersyukur tidak menyaksikan konsert bintang elektropop itu, sebaliknya, menganggap perkara itu petanda daripada Allah.
"Betul, saya tidak perasan tarikh konsert kerana bagai saya, acara itu bukanlah sesuatu yang penting.
"Saya beli lima tiket, Rabu lalu bagi memenuhi permintaan anak-anak. Saya memang fikirkan konsert berlangsung dua hari.
"Anak beritahu kawannya pergi malam tadi, jadi, saya sangka tiket kami bagi persembahan hari ini. Saya sebenarnya keliru antara malam Jumaat dengan hari Jumaat," katanya kepada BH Online.
Nabil berkata, dia membeli tiket untuk lima tempat duduk jauh dari pentas.
"Kami belum pernah menonton konsert. Sebelum ini, kami pernah menyaksikan pementasan di Disneyland.
"Disebabkan anak-anak mahu menonton, saya penuhi permintaan mereka. Saya pergi kerana hendak melihat cara produksi antarabangsa bekerja dan bagaimana konsert itu dikendalikan," katanya.
Pagi tadi tular dalam media sosial Nabil kelihatan terduduk menghubungi isterinya, Nazira Ayub memaklumkan mereka sudah terlepas konsert Eilish.
Difahamkan, Nabil membeli lima tiket berharga RM508 setiap satu untuk isteri dan tiga anak perempuannya.
Biarpun menanggung kerugian, Nabil bersyukur menerima petanda Allah yang mahu melindungi dirinya dan keluarga daripada perkara melalaikan.
"Ramai komen konsert itu sesuatu yang 'lagha' (melalaikan). Saya fikir benda sama. Allah mahu elak kami daripada bersama dengan perkara-perkara seumpama itu dan lindungi kami," katanya.