Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Mohon maaf, mengaku salah sifat mulia - Sabri Yunus

15 May 2023 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Insan yang memohon maaf dan mengaku bersalah lebih dipandang mulia.

Itu pandangan pengarah dan pelakon berpengalaman, Sabri Yunus, 61, yang berpendapat maruah seseorang itu tidak tercalar jika memohon maaf dan mengaku kesilapan sendiri.

"Sebenarnya, dalam keseluruhan konteks, memohon maaf itu adalah sifat mulia. Walaupun kita tidak bersalah, apa salahnya kita meminta maaf.

"Ini tidak menjadi masalah, apatah lagi sifat itu dituntut dalam kehidupan beragama kita.

"Jadi, jangan takut meminta maaf. Perbuatan itu tidak menjatuhkan maruah, malah mengangkat maruah insan terbabit," katanya kepada BH Online.

Sabri yang mengarah filem Pok Ya Cong Codei bagaimanapun tidak menuding jari kepada sesiapa atas kenyataan dibuat.

Akui Sabri, beliau tidak keberatan memohon maaf jika melakukan kekhilafan.

"Saya tiada masalah untuk meminta maaf jika terbabit dalam situasi sedemikian. Usaha meminta maaf ini adalah suatu perkara yang penting, jangan biarkan ia membatasi kita.

"Seperti sekarang kita sedang berborak, saya minta maaf sekiranya ada yang salah cakap atau sebagainya.

"Ini tidak menjatuhkan ego kita. Saya fikir cuma diri kita yang memikirkan berat untuk meminta maaf. Kalau kita melepaskan benda yang berat itu, kita akan lebih lega," katanya ditemui pada majlis pelancaran program Mega Spontan di ibu negara, baru-baru ini.

Ditanya sama ada pengalaman seseorang artis membolehkan dirinya dipandang tinggi, Sabri berkata, perkara itu bergantung pada konteks atau keadaan.

"Ada kala kita perlu pertahankan diri dalam konteks tertentu, berdasarkan pengalaman kita. Ada masanya kita tidak perlu pertahankan.

"Tunjuk pandai bagi saya adalah perkataan yang memberi konotasi tidak cantik. Hebat dan pandai datang sendiri dan biar orang yang rasa. Sikap menunjuk itu tidak baik.

"Tapi dalam konteks tertentu, kita memang kena ada benda begitu. Tetapi perkara itu masih dalam konteks. Dalam banyak hal, kita lupa dan kita tengok selapis sahaja dan tanpa lihat konteks sebenar," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sabri dipilih sebagai mentor dalam program Mega Spontan 2023 bersama Douglas Lim, Zizan Razak dan Kamal Adli.