Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Seraut sosok wajah tampan dengan ketinggian dimiliki, lantas kehadiran dua bintang ciptaan baharu, Hun Haqeem, 25, dan Meerqeen, 22, mampu menawan hati peminat wanita dalam sekelip mata.
Wajah persis jejaka Korea digelar 'Oppa' menyebabkan dua sahabat tampan ini antara hero lelaki 'hot' yang kini menjadi buruan produser.
Pernah digandingkan dalam drama Angkara Cinta, Hun dan Meerqeen sekali lagi digandingkan dalam drama terbaharu, Nenek Bongkok Tiga siaran platform Viu.
Mengatur langkah hampir serentak dengan Meerqeen, kerjaya Hun mula menyerlah selepas membawakan watak Jefkar dalam drama fenomena, Kampung People yang bersiaran di TV3.
Meerqeen pula mula mencipta 'bara api' menerusi drama 'trending' hingga ke seberang, Melur Untuk Firdaus bergandingan dengan bintang jelita, Anna Jobling.
Populariti Meerqeen hingga menembusi Indonesia lantas ada yang mula membandingkannya dengan Hun. Meerqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam dilihat lebih popular dan mencipta kegemilangan berbanding Hun hingga berjaya mengembangkan kerjaya lakonan di seberang.
Jauh di sudut hati, tiada sekelumit pun timbul rasa cemburu di hati Hun atau nama sebenarnya, Haqeem Hermy.
Menyedari ramai membandingkannya dengan Meerqeen, namun, tidak langsung terguris dengan perbandingan, sebaliknya gembira dengan pencapaian Meerqeen.
"Saya akui ada yang mula membandingkan kami. Jujur, saya tidak terkesan, malah menganggapnya sebagai lumrah bagi setiap manusia.
"Kehadiran saya dalam bidang seni bukan untuk berlumba-lumba, sebaliknya saya hanya inginkan keseronokan dalam berkarya. Lagipun, kami sudah lama kenal dan memulakan langkah dalam bidang seni bersama hingga ada yang mengatakan muka kami sama dan sebagainya.
"Jadi, tidak timbul soal cemburu dengan apa yang dikecapi Meerqeen. Sebaliknya, saya tumpang seronok melihat kejayaannya.
"Perjalanan setiap manusia tidak sama. Jika ada yang ingin terus membandingkan kami, saya hanya melihatnya persaingan sihat," katanya kepada BH Online.
Berbicara watak Zamir dalam drama Nenek Bongkok Tiga, Hun menganggap pembabitannya sebagai satu lembaran baharu kerjaya seni yang masih hijau.
Katanya, dia bangga dapat bekerja dalam produksi antarabangsa bersama nama besar seperti Datin Sofia Jane.
Sebagai bakat baharu, katanya, dia tidak pernah bermimpi beraksi di sisi aktres hebat itu.
"Walaupun babak saya dan Sofia tidak banyak, tetapi ia satu penghargaan dapat berkerja dalam produksi sama. Tertanya-tanya juga bagaimana saya boleh terpilih berlakon dalam produksi hebat ini.
"Sofia tidak dapat disangkal lagi seorang pelakon sangat hebat, tidak kedekut ilmu dan auranya membuatkan saya sukar melupakan pengalaman bekerja dengannya," katanya.
Bagi Meerqeen, meskipun sudah berjaya menempa nama ke negara seberang, namun layanan dan persahabatannya dengan Hun masih sama seperti dahulu.
"Tiada istilah 'kau-kau, aku-aku', sebaliknya hubungan kami masih baik. Jika tidak, masakan video kami saling usik mengusik ketika di lokasi penggambaran Nenek Bongkok Tiga tular.
"Kami masih kekal bersikap 'gila-gila' seperti dahulu. Persahabatan kami juga masih sama seperti mula kenal.
"Tiada istilah siapa lebih hebat atau buat hal sendiri ketika di lokasi.
"Siapa yang pernah bekerja dengan kami, tahulah macam mana 'gila-gila' saya dan Hun di lokasi. Namun, sebaik pengarah jerit 'action', kami bertukar karakter masing-masing," katanya.
Anak kelahiran Ampang, Selangor itu berkata, dia tidak pernah mendabik dada dengan kejayaan berjaya menawan hati peminat di Indonesia gara-gara populariti drama Melur Untuk Firdaus.
Katanya, dia tidak pernah memberi perhatian jika ada yang dengki atau kurang senang dengan populariti dikecapi kerana tiada masa memikirkannya.
"Sejujurnya, saya tidak tahu jika ada yang kurang senang apa yang dikecapi. Jika ada yang berasakan demikian, saya mohon maaf.
"Saya tiada masa memfokuskan perkara negatif kerana terlalu sibuk dengan bekerja.
"Bukan mudah menjadi 'Meerqeen', ia sebenarnya memenatkan dan perlu banyak bersabar dengan kerenah orang.
"Apa yang penting, saya memberikan yang terbaik untuk kerjaya lakonan.
"Saya tidak kisah jika ada yang membandingkan lakonan saya dengan sesiapa. Lebih baik dibanding-bandingkan kerana itu bermakna orang nampak kewujudan saya, berbanding tidak diperkatakan langsung," katanya.