Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Biarpun hampir tiga bulan bebas COVID-19, namun bekas pengacara program Jalan Jalan Cari Makan, Maria Tunku Sabri, 51, mengalami simptom berpanjangan.
Maria berkata, kesan dialami menyebabkannya mudah lupa, sering letih dan kelelahan. Selain itu, banyak perubahan lain yang dialami termasuk kehilangan berat badan sebanyak tujuh kilogram (kg)
"Walaupun mempunyai pembantu rumah, tetapi saya tidak suka bergantung kepadanya. Sebaliknya, saya lebih selesa membuat sendiri kerja rumah.
"Bagaimanapun, kini, saya mudah penat dan semput. Itulah impak yang dialami selepas dijangkiti COVID-19.
"Dahulu, saya boleh mencuci dan mengemas rumah tiga tingkat tanpa apa-apa masalah. Namun, kini, saya perlu berehat seketika kerana cepat letih.
"Saya juga menjadi pelupa lupa sehingga jarang berkongsi video masakan dalam Instagram. Ada kalanya, ada benda yang ingin diambil, tetapi saya lupa barang yang dimahukan apabila buka pintu peti ais," katanya kepada BH Online.
Bukan itu sahaja, katanya, penyakit asma yang pernah dialami kembali menyerang selepas pulih COVID-19 sehingga memaksanya membawa ubat sedutan kerana bimbang menyerang ketika sedang bekerja.
Tambah Maria, dia ada menjalani pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN) dan hasil pemeriksaan mendapati masih berbaki kesan akibat virus berkenaan.
"Saya menjalani ujian kesihatan di IJN, baru-baru ini. Melalui pemeriksaan, masih terdapat titik pada bahagian paru-paru. Jadi, saya disarankan melakukan latihan pernafasan.
"Saya melakukan senaman pernafasan sebanyak 10 kali setiap hari. Alhamdulillah, selera dan deria rasa sudah kembali secara perlahan-lahan," katanya.
Terdahulu, ibu kepada dua cahaya mata itu terpaksa dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Oktober lalu selepas mengalami tekanan darah rendah, degupan jantung laju dan demam gara-gara COVID-19.
Selain itu, kuman dalam badannya juga meningkat sehingga menyerang paru-paru.
Maria disahkan positif selepas beberapa hari pulang daripada lokasi penggambaran di Perak selepas suaminya didapati positif menerusi Kit Ujian Pantas (RTK) yang dilakukan.
Maria pula diarahkan pulang menyebabkan pihak produksi terpaksa mencari pelakon lain menggantikan wataknya.