Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Majalah 3 papar kes tanah runtuh stesen TNB Kenyir

10 Mar 2023 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Hujan lebat luar biasa berterusan pada 27 Februari tahun lalu mengakibatkan tanah runtuh di sekitar kawasan Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM), Kenyir, Kuala Berang, Terengganu milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bencana alam itu bukan hanya memberi impak besar kepada TNB, malah melumpuhkan operasi SJSM, apatah lagi ketika itu empat petugas TNB terperangkap.

Bertindak pantas, pelbagai usaha digerakkan bagi menyelamatkan petugas dan dibawa keluar dari SJSM. Semua detik mencemaskan ini dipaparkan secara terperinci dalam episod eksklusif program Majalah 3 (M3) berjudul Misi: Kembalikan Kuasa Kenyir yang akan disiarkan TV3, Isnin ini, jam 9 malam.

Penerbit Eksekutif dan Penerbit, Irin Putri Azmi, berkata melalui episod itu, M3 membawa penonton menelusuri pengalaman empat petugas TNB yang menjadi saksi kepada kejadian tanah runtuh dan kepala air yang dilaporkan berlaku secara bertubi-tubi di cerun sekitar SJSM.

"Sebenarnya, idea asal episod ini adalah daripada TNB kerana insiden itu dianggap sejarah besar yang tidak pernah berlaku.

"Jadi, TNB fikir, ini adalah peluang baik untuk beri pengajaran pada semua. Paparan ini juga bertindak sebagai dokumentasi bagi TNB kerana cabaran sangat besar yang ditempuhi sepanjang tempoh pemulihan ini," katanya.

Antara suasana digambarkan adalah insiden batu besar yang jatuh dari cerun turut merosakkan persekitaran termasuk aset TNB seperti bangunan pencawang dan beberapa menara talian penghantaran elektrik.

Dalam keadaan cemas, semua petugas yang terperangkap masih berusaha memegang amanah dan tanggungjawab untuk untuk memastikan bencana melanda itu tidak menyebabkan kerosakan kepada mesin penjanaan.

Sifat tanggungjawab yang tertanam dalam diri petugas TNB berjaya mengelak keadaan yang lebih buruk berlaku biarpun ketika itu, laluan darat dan sungai terputus.

Pada detik itu, ia memberi cabaran untuk menyelamatkan kakitangan TNB yang terperangkap.

Dari kiri, Ketua Grid Maintenance TNB, Azmi Mohd Yusof; Kumpulan Korporat Komunikasi, Shukreen Ma; Mantan Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Husaini Husin; Pengurus Besar Kanan Kreatif Pemasaran, Farah Shamsudin; Penasihat Eksekutif Kanan Pengisian Islam, Ruzmi Kamarudin dan Irin pada sidang media Dalam Misi: Kembalikan Kuasa Kenyir di Balai Berita NSTP. - NSTP/Genes Gulitah
Dari kiri, Ketua Grid Maintenance TNB, Azmi Mohd Yusof; Kumpulan Korporat Komunikasi, Shukreen Ma; Mantan Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Husaini Husin; Pengurus Besar Kanan Kreatif Pemasaran, Farah Shamsudin; Penasihat Eksekutif Kanan Pengisian Islam, Ruzmi Kamarudin dan Irin pada sidang media Dalam Misi: Kembalikan Kuasa Kenyir di Balai Berita NSTP. - NSTP/Genes Gulitah

TNB juga berdepan cabaran untuk memulihkan operasi stesen terbabit secepat mungkin selepas mengalami kerosakan teruk.

Sasaran diletakkan TNB untuk memulihkan sistem penjanaan kuasa stesen terbabit dalam tempoh kurang enam bulan.

Namun, kerja baik pulih siap tiga bulan lebih awal dan SJSM Kenyir beroperasi sepenuhnya pada 26 Jun tahun lalu.

Irin berkongsi, dia dan lapan tenaga produksi M3 berdepan pelbagai cabaran sepanjang penggambaran, namun semuanya dianggap pengalaman berharga.

"Kami rakamkan episod istimewa ini selama lebih kurang enam bulan iaitu sebaik saja tanah runtuh itu berlaku.

"Kami berulang alik dari Kuala Lumpur ke Terengganu. Hendak pergi ke lokasi juga mencabar kerana tanah runtuh di sekitar kawasan menyekat laluan masuk. Jadi, kami gunakan kenderaan pacuan empat roda.

"Selain itu, kami juga berdepan dengan risiko tanah runtuh ketika penggambaran jika hujan lebat. Ini berikutan keadaan tanah masih lagi belum stabil. Disebabkan itu kami dinasihatkan untuk keluar dari stesen terbabit jika hujan," katanya.

Irin bersyukur proses penggambaran lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

"Ketika itu, masih hujan, namun tidak terlampau lebat. Untuk menjadikan projek besar ini sebagai dokumentari yang menyentuh hati penonton, agak mencabar.

"Kalau boleh, kami tidak mahu bercerita mengenai teknikal, bimbang penonton menukar siaran pula," katanya.

Episod eksklusif M3 berjudul Misi: Kembalikan Kuasa Kenyir selama sejam itu diterajui Irin dan wartawan, Muhammad Hafiz Mohd Hizal.