Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR : Bakat baharu, Amir Ahnaf, 21, yang popular menerusi watak Kahar dalam drama popular Projek: High Council tidak menyangka watak antagonis dibawa melonjakkan namanya dalam dunia lakonan.
Melangkah dalam bidang seni menerusi pertandingan pencarian bakat Hero Remaja pada 2021, jejaka kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini perlahan-lahan mempelbagaikan kegiatan seni dengan menceburi bidang pengacaraan.
Amir atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairuddin pada mulanya mencuba nasib sebagai pelakon ekstra, akhirnya rezeki dalam bidang lakonan terbuka luas, lebih-lebih lagi selepas membintangi drama Projek: High Council.
"Saya tidak sangka watak antagonis dibawa mampu memikat penonton. Namun, saya harus berterima kasih kepada pengarah, Anwari Ashraf dan Zulaikha Zakaria kerana memberi peluang kepada pendatang baharu seperti saya untuk membintangi projek ini.
"Saya amat menghargai sokongan ditunjukkan peminat kerana tidak sangka, biarpun membawa watak antagonis, mereka tetap sokong," katanya kepada BH Online.
Anak sulung daripada sembilan adik beradik itu cukup berbeza daripada karakter asal. Di luar drama, katanya, Amir manja, bercakap lemah-lembut dan ada masanya jadi pendiam.
Malah, ahli keluarganya melihat sisi berbeza yang ditunjukkan dalam watak Kahar menerusi drama yang mencetuskan fenomena itu.
"Saya manja dan lebih gemar bercakap lemah-lembut. Ada masanya dalam sesetengah situasi, saya lebih suka mendiamkan diri. Namun, Kahar bengis, tetapi satu persamaan kami, individu manja," katanya.
Berkongsi pengalaman membintangi drama Projek: High Council, Amir berkata, pada mulanya, dia ditawarkan watak lain.
"Ketika uji bakat pertama, saya diberi watak Zahrin, tetapi pengarah berpendapat, ada sesuatu pada diri saya yang belum 'keluar' lagi.
"Jadi, pengarah panggil saya untuk sesi uji bakat kedua. Ketika uji bakat kedua, karakter ditukar kepada Kahar. Saya agak terkejut kerana sudah mula selesa dengan watak Zahrin kerana memiliki karakter lebih santai.
"Namun, saya ambil watak Kahar sebagai cabaran bersama Mierul Aiman yang sentiasa duduk berbincang serta 'membedah' watak masing-masing.
"Kami tidak letakkan apa-apa harapan, tetapi kami sentiasa bercakap antara satu sama lain untuk percaya kepada proses. Tidak sangka, rupanya drama ini boleh meninggalkan impak sebegini hebat," katanya.
Amir yang pernah membintangi drama Perempuan Itu untuk TV3 bersama Zul Ariffin menjadikan pelakon Hollywood, Johnny Depp sebagai idola.
Amir berkata, jiwanya lebih kepada karakter yang 'deep' (berat) dan berharap mendapat peluang membawa watak seumpama itu suatu hari nanti.
"Saya cukup kagum dengan Depp yang boleh membawa apa sahaja karakter dengan bersahaja dan berkesan.
"Saya sebenarnya ada perancangan dengan rakan untuk mengetengahkan diri sebagai pelakon aksi lagak ngeri kerana ia cukup mencabar.
"Saya harus menggunakan pentas lakonan dengan sebaiknya. Ini kerana ia adalah tempat permainan seorang pelakon.
"Mungkin darah seni yang mengalir daripada ibu iaitu seorang aktivis teater membakar semangat saya dalam bidang seni," katanya.