Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Pelakon kacukan Melayu-Itali, Julia Farhana Marin, 28, sudah bergelar isteri kepada Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 32, sejak 14 Disember lalu.
Majlis akad nikah Julia dan Che Hafiz diadakan secara tertutup, di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang hanya dihadiri keluarga dan rakan baik.
Julia berkongsi berita baik itu menerusi laman Instagram, sebenar tadi.
"Saya sudah rasmi menjadi isteri Dr Che Hafiz. Ini adalah gambar pada majlis pernikahan yang hanya dihadiri keluarga kedua-dua pihak.
"Perkongsian ini dimuat naik sebagai pengumuman bagi berkongsi berita saya dan Che Hafiz kini sudah bergelar suami isteri. Kami mohon maaf atas kelewatan pengumuman ini kepada rakan dan teman media.
"Dengan rendah hati, kami ingin mohon maaf kerana mahukan majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh keluarga dan rakan rapat sahaja.
"Kami ingin memohon doa yang baik-baik untuk menjalani bahtera perkahwinan ini. Terima kasih semua," katanya ketika dihubungi BH Online.
Julia berkongsi, dia dan suami memilih Indonesia sebagai lokasi berbulan madu.
Sementara itu, Dr Che Hafiz bersyukur majlis pernikahan berjalan dengan lancar, malah tidak menolak untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.
"Alhamdulillah, kami terus berangkat berbulan madu di beberapa lokasi di Indonesia selepas bernikah. Kami baru sahaja pulang ke Malaysia, hari ini.
"Syukur semuanya berjalan lancar. Jika ada rezeki menimang anak, kami menerima dengan hati terbuka.
"Saya mohon doa agar bahtera rumah tangga dibina berkekalan hingga ke syurga. Semoga kami dapat menjadi pasangan yang sentiasa diberkati, insya-Allah," katanya.
Sebelum ini, Dr Che Hafiz pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Lufya pada 26 November 2016 dan dikurniakan Laana Haura yang kini berusia lima tahun.
Bagaimanapun, Lufya dan Dr Hafiz bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam pada 17 Jun 2020.