Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

JKKN komited suburkan aktiviti budaya tahun ini

28 Feb 2023 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR : Sejak dahulu lagi, penggiat seni dan budaya tempatan berdepan cabaran terbesar iaitu kemampuan meneruskan survival, apatah lagi dalam situasi getir sejak penularan pandemik COVID-19.

Kemasukan budaya asing yang meresap dan diterima mudah masyarakat turut menyebabkan sanjungan terhadap seni dan budaya tempatan terpinggir, lantas menjejaskan pencarian penggeraknya.

Namun, biarpun bergelut dengan pelbagai kekangan, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) tetap berpegang misi memperkasa budaya tempatan menerusi penganjuran pelbagai aktiviti.

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop yakin seni dan budaya tempatan mempunyai potensi cerah untuk terus bertahan dan diterima di negara luar jika disokong pelan strategi betul.

"Tidak dinafikan, kebanjiran budaya asing memberi kesan kepada seni dan budaya tempatan. Kita tidak boleh halang perkara itu daripada berlaku. Namun, itu bukanlah alasan untuk kita menyerah kalah.

"Dalam usaha memartabatkan kesenian dan kebudayaan tempatan, kita perlukan sokongan bersepadu dari pelbagai pihak.

Tahun ini, JKKN merancang 11 program antaranya Pesta Angin Timur Perlis, Festival Kesenian Rakyat Kelate dan Keretapi Sarong. Foto NSTP Rohanis Shukri
Tahun ini, JKKN merancang 11 program antaranya Pesta Angin Timur Perlis, Festival Kesenian Rakyat Kelate dan Keretapi Sarong. Foto NSTP Rohanis Shukri

"JKKN tidak boleh buat perkara ini sendirian. Sokongan diharapkan bukan sahaja daripada segi moral, malah dalam aspek kewangan. Setiap aktiviti yang dianjurkan perlukan modal yang bukan sedikit jumlahnya," katanya kepada BH Online.

Berdasarkan pengalaman sendiri, Mesran berkata, tiada apa yang mustahil jika usaha memartabatkan khazanah negara diperkuat dengan dengan kesungguhan dan keazaman.

"Paling penting, semangat cintakan seni dan budaya perlu ada. Pengalaman berada Korea Selatan awal 2000 membuka mata saya mengenai bagaimana kesungguhan serta semangat jati diri yang kukuh mampu membawa produk seni negara itu pergi lebih jauh.

"Ketika itu, saya berada di salah sebuah universiti di sana. Seorang profesor beritahu, dalam jangka masa 10 tahun akan datang, produk seni dan budaya Korea Selatan akan menjadi gah di luar negara.

"Nyata apa yang dijangka sangat tepat. Bukan sahaja gah di peringkat antarabangsa, malah mampu membawa pulangan besar kepada negara," katanya.

Dalam keterbatasan, Mesran berpuas hati JKKN mampu menempa kejayaan apabila aktiviti yang dianjurkan mendapat sambutan menggalakkan.

"Walaupun bajet terhad, kami cuba pastikan acara yang dianjur memberi manfaat kepada masyarakat. Pada masa sama, misi untuk memperkasakan kesenian dan kebudayaan negara tercapai.

"Antara projek yang boleh dibanggakan adalah Iftar@KL di Jalan Raja, Dataran Merdeka, tahun lalu yang menarik lebih 40,000 pengunjung.

"Bukan sahaja penduduk tempatan, malah pelancong. Ramai yang menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan acara itu," katanya ditemui pada majlis Serlahan Seni Budaya JKKN 2023 dan pelancaran buku Mek Mulung - Bangkitnya Warisan Turun-Temurun di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Yusoff.

Tahun ini, JKKN merancang 11 program antaranya Pesta Angin Timur Perlis, Festival Kesenian Rakyat Kelate dan Keretapi Sarong.

JKKN turut menyasarkan 197 indeks prestasi utama (KPI) merangkumi 832 aktiviti seni dan budaya di seluruh negara.