Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Jenazah Mohd Noor Kadir selamat dikebumikan

29 Jul 2022 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Jenazah penerbit, Allahyarham Mohd Noor Kadir, 69, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, di sini, jam 12 tengahari tadi.

Jenazah dibawa ke Madrasah Iktisamiah Taman Melati untuk urusan mandi dan solat jenazah.

Awal pagi tadi, BH Online melaporkan Pengarah Urusan Kuasatek Pictures Sdn Bhd itu menghembuskan nafas terakhir disyaki akibat kanser tahap empat yang belum dapat dipastikan jenis kanser di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, pada jam 1.57 pagi.

Berita pemergiannya disahkan sahabat baik yang juga produser terkenal, Datuk Yusof Haslam kepada BH Online

Allahyarham Mohd Noor aktif menerbitkan drama popular seperti Cinta Korporat, Marabbuka, Cinta Antara Benua, Cinderella, Romeo & Juliet, Salam Taj Mahal dan Kama Sutra pada era 1990-an.

Jenazah Allahyarham Mohd Noor dibawa ke Madrasah Iktisamiah Taman Melati untuk urusan mandi dan solat jenazah. - Foto Ihsan  Khir Mohd Noor
Jenazah Allahyarham Mohd Noor dibawa ke Madrasah Iktisamiah Taman Melati untuk urusan mandi dan solat jenazah. - Foto Ihsan Khir Mohd Noor

Kebanyakan drama diterbitkan memilih lokasi penggambaran di luar negara. Malah, impak mutu drama menjadikan nama Kuasatek Pictures terkenal sebagai syarikat pengeluar drama di Malaysia dan sering dinantikan ramai.

Selain itu, Kuasatek Pictures itu juga pernah menerbitkan filem Mr Cinderella dan Mr Cinderella 2 yang menjalani penggambaran di New Zealand.

Bagaimanapun, Allahyarham pernah meninggalkan dunia seni bagi memberi tumpuan kepada syarikat kejuruteraan, namun, kembali menerbitkan beberapa drama selepas lima tahun.

Antara rakan seperjuangan turut hadir memberikan penghormatan terakhir termasuklah Yusof, Datuk Jalaluddin Hassan, Khir Mohd Noor, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, U-Wei Saari, Datuk Sidi Oraza, Datin Paduka Umie Aida, Erma Fatima dan Vanidah Imran.