Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Isu dadah, artis berterusan

04 Apr 2022 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Isu artis dan dadah bagaikan tiada penghujung. Ada yang sudah terima hukuman, ada juga masih tegar bergelar penagih tanpa rasa bersalah.

Salah laku berulang seolah-olah membenarkan kenyataan, artis dan dadah tidak mampu dipisahkan sejak zaman berzaman.

Alasan lapuk, pengambilan dadah mampu mempengaruhi kreativiti berkarya, lebih berkeyakinan dan tidak gementar mahupun lupa lirik ketika menyanyi di khalayak ramai.

Mengikut Pakar Psikologi Kaunseling Rawatan dan Pemulihan Dadah, Dr Azemi Shaari, bukan hanya golongan artis terjerumus dengan najis dadah, malah kini terdapat kumpulan profesional turut mengambil dadah sebagai perangsang bagi tujuan kerja.

Katanya, penagih dadah hari ini merangkumi semua golongan kerana ia kononnya boleh membantu dalam menjalankan pekerjaan.

"Contohnya, penyanyi mengambil dadah bagi mengelakkan lupa lirik. Apabila tidak mengambil dadah, tidak boleh menyanyi.

"Jadi, dadah bukanlah membuatkan seseorang berkhayal, malah pengambilannya bertujuan membantu dalam pekerjaan.

"Ada penyanyi ditahan mengambil ganja untuk ketenangan. Dari situ boleh menjana idea bagi menghasilkan karya kerana pemikirannya sudah dikuasai bahan terlarang.

"Sebenarnya, ganja digunakan dalam elemen perubatan, cuma ia disalah guna apabila diambil secara berlebihan," katanya kepada BH Online.

Dr Azemi berkata, ganja boleh mendatangkan ketenangan.

"Ia bukannya khayal, namun ramai salah faham soal ini. Ada yang beranggapan ganja mendatangkan khayalan.

"Tetapi, pengambilan ganja boleh memberikan kelegaan. Contohnya, mengambil ubat tahan sakit sama seperti mengambil ganja, ia memberikan ketenangan yang melampau.

"Selain itu, tindak balas sama seperti dadah yang datang dari tumbuhan seperti heroin, morfin dan ubat batuk. Otak sudah ditetapkan tidak tenang jika tidak mengambilnya," katanya.

Dr Azemi berpendapat kaunseling sukar membantu golongan penagih dadah disebabkan tidak tahu dunia mereka.
Dr Azemi berpendapat kaunseling sukar membantu golongan penagih dadah disebabkan tidak tahu dunia mereka.

Katanya, berbeza individu mengambil syabu, ia mendatangkan tumpuan, keberanian dan kerajinan.

"Ganja adalah tumbuhan dalamnya terdapat dua komponen kimia utama iaitu tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD). TCH ialah bahan khayal untuk menambah kreativiti berkarya, manakala CBD digunakan untuk perubatan termasuk rawatan barah, epilepsi dan sebagainya.

"Kebergantungan seseorang terhadap ganja tidaklah seteruk kebergantungan terhadap dadah seperti heroin, morfin dan dadah sintetik seperti pil kuda dan syabu yang boleh membawakan ketagihan lebih dahsyat.

"Bagaimanapun, sekiranya diberikan rawatan betul, mereka mampu pulih dan bebas daripada penagihan, antaranya seperti menghadiri kumpulan sokongan," katanya.

Dr Azemi berkata, kaunseling sukar membantu golongan penagih dadah disebabkan tidak tahu dunia mereka.

"Kita tidak tahu nikmat dadah kerana tidak menghisapnya. Jadi, kaedah yang saya nampak lebih berkesan dengan memanggil mereka menyertai kumpulan sokongan.

"Menerusi perjumpaan, kita akan duduk bersembang yang turut disertai doktor pakar yang boleh berkongsi mengenai kesan penagihan.

"Itu langkah yang sepatut dilaksanakan. Ini kerana ia membantu seseorang penagih meluahkan perasaan. Setiap penagih mempunyai punca penagihan berbeza.

"Sebenarnya, semua penagih dadah mahu berhenti, tetapi perkara ini berat. Disebabkan itu, mereka memerlukan rawatan dalam kumpulan sokongan yang mengamalkan komunikasi mengambil peduli," katanya.

Dengan pembabitan dalam kumpulan sokongan, katanya, ia turut membantu mengelakkan penagih kembali mengambil dadah.

"Satu yang perlu diingat, individu menagih dadah sampai mati tidak boleh melupakan mereka adalah penagih dadah. Walaupun sudah pulih lima hingga 10 tahun, penagihan boleh datang balik.

"Di situlah, daya tahan seseorang itu diuji. Kalau tiada ketahanan, kemungkinan akan kembali menagih.

"Saya pernah berhadapan dengan individu sudah berpuluh tahun berhenti menagih, namun berperang dengan diri sendiri, sama ada berpatah balik atau sebaliknya jika diberikan dadah.

"Disebabkan itu, saya tegaskan pemilihan kawan sangat penting," katanya.

Ramli berkongsi, dadah merangsang kimia dalam otak membuatkan seseorang selesa, seronok, tenang, gembira dan seumpamanya.
Ramli berkongsi, dadah merangsang kimia dalam otak membuatkan seseorang selesa, seronok, tenang, gembira dan seumpamanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), Ramli Abdul Samad, berkata sekali sahaja pengambilan ganja, kesannya bertahan selama tiga hingga empat jam, malah ada juga hingga enam jam.

Justeru, katanya, seseorang itu akan mengulangi dan menjadi punca penagihan apabila kesan habis.

"Dadah merangsang beberapa kimia dalam otak, membuatkan seseorang rasa selesa, seronok, tenang, gembira dan seumpamanya menyebabkan mereka menggunakan dadah apabila mahu bergembira.

"Bagi seorang penyanyi, dadah diperlukan apabila mahu berkarya, menyanyi dan sebagainya. Jika mahu menghilangkan kebimbangan dan kerisauan untuk beraksi atas pentas, dadah juga mampu membantu.

"Sampai satu tahap, dadah juga diperlukan bagi mengelakkan perasaan gementar berjumpa orang. Dalam erti kata lain, dadah akan digunakan buat apa sahaja dalam kehidupan. Itu yang kita panggil penagihan," katanya.

Jelas Ramli, dalam otak ada satu tempat yang dipanggil 'center of reward system'.

"Contohnya, kita suka makan nasi kandar, bila dapat makan nasi kandar, kita gembira. Ia kerana makanan paling digemari akan meningkatkan dopamin dalam otak sebanyak 50 peratus.

"Jadi, apabila seseorang mengambil ganja, dopamin akan meningkat sebanyak 10 kali ganda," katanya.

Ramli berkata, untuk menghilangkan kebergantungan pada dadah berbeza buat setiap individu, bagaimanapun, perlu mendapatkan rawatan dan memperbaiki isu sosial.

"Apabila seseorang mahu berhenti menagih, awalnya akan rasa hidup kosong tanpa dadah. Jadi, individu berkenaan kena belajar bagaimana mahu bergembira tanpa dadah. Disebabkan itu, memerlukan pemulihan.

"Contoh, artis masuk PENGASIH seperti Datuk Jamal Abdillah. Beliau tinggal di PENGASIH selama lima tahun.

"Pada peringkat awal, beliau juga sukar menjauhkan diri daripada penagihan, namun lama kelamaan, alhamdulillah pulih.

"Kita tahu ada penyanyi ambil dadah disebabkan lebih yakin menghiburkan khalayak. Jadi, Jamal kena biasakan diri untuk mengadakan persembahan tanpa menggunakan dadah," katanya.