Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Infiniti tepati sasaran Alha Alfa

24 Aug 2018 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Reputasi cemerlang dalam setiap penganjuran selain memegang rekod acara anugerah paling lama bertahan memberi keyakinan kepada syarikat pengeluar kosmetik tempatan, Alha Alfa menjadi penaja utama Anugerah Bintang Popular BH ke-31 (ABPBH 31).

Pengasasnya, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil berkata, hasrat menjalinkan kerjasama dengan ABPBH timbul selepas melihat impak dan peluang perniagaan lebih luas yang bakal diperoleh sesuai dengan populariti acara anugerah yang sudah lebih tiga dekad dianjurkan itu.

“Selepas dua tahun produk kosmetik Alha Alfa dipasarkan, sudah tiba masanya untuk kami mengembangkan perniagaan supaya lebih dikenali sekali gus menarik lebih ramai pengguna sasaran.

“Sebagai acara hiburan paling lama bertahan, saya percaya dengan kemampuan ABPBH untuk mendekati penonton dan peminat serta pada masa sama, menyedari kewujudan produk saya.

“Tak dinafikan, ABPBH adalah acara yang paling ditunggu-tunggu. Dengan kolaborasi ini, saya yakin populariti serta kredibiliti acara anugerah ini mampu memperkasakan lagi produk kami sekali gus objektif menjadi syarikat kosmetik nombor satu di Malaysia akan tercapai,” katanya kepada BH Online.

Sebagai jurusolek profesional kepada beberapa selebriti ternama, Abdul Al Halim atau lebih dikenali sebagai Alha memberitahu, ABPBH bukanlah sesuatu yang asing buatnya.

PENGASAS Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil. - Foto Rohanis Shukri
PENGASAS Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil. - Foto Rohanis Shukri

Pengalaman terbabit secara langsung dengan acara itu membuatkan beliau bertambah yakin keputusan menjadi penaja adalah tepat.

“Kali pertama saya terbabit secara langsung dengan ABPBH adalah apabila ditugaskan menata rias Amy Mastura.

Tahun lalu, saya berpeluang berada dalam dewan dan melihat sendiri acara itu.

“Pada saya, selain melihat artis mana yang masih relevan dengan peminat, ia menjadi platform untuk mencabar kreativiti.

“Saya masih ingat lagi saat penganjur memperkenalkan tema Futuristik dan selebriti muncul dengan pelbagai gaya yang mengagumkan.

“Sebagai jurusolek, acara seperti ini memberi ruang dan peluang untuk kita berkarya mengikut tema yang diketengahkan.

“Bukan sahaja untuk jurusolek, malah mencabar kreativiti pereka fesyen dan selebriti sendiri,” katanya yang pernah menata rias selebriti terkenal seperti Fasha Sandha, Uqasha Senrose, Nelydia Senrose dan Ayda Jebat.

Untuk menyemarakkan lagi acara yang menjadikan undian peminat sebagai pengukur populariti artis, Alha berkata pihaknya akan mengeluarkan pakej khas yang dinamakan Infiniti Box, mengikut nama tema ABPBH 31.

“Kotak khas ini akan mengandungi bedak asas, bedak tabur, pembayang mata dan glow creator.

“Selalunya setiap barangan ini dijual berasingan tetapi sempena kerjasama ini, kami kumpulkan empat produk dalam satu kotak khas pada harga yang sangat berpatutan... Ini julung kali dibuat.

“Pakej istimewa ini akan dijual sebelum malam kemuncak ABPBH. Ia boleh didapati di outlet kami serta ejen bertauliah.

PENGASAS Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil, yakin dengan jenama ABPBH. - Foto Rohanis Shukri
PENGASAS Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil, yakin dengan jenama ABPBH. - Foto Rohanis Shukri

“Kami juga akan menganjurkan peraduan yang membabitkan acara. Bagi yang hendak menyertainya, mereka kena tengok majlis anugerah ini,” kata ahli perniagaan berusia 30 tahun ini.

Mengakui teruja dengan tema Infiniti, pemegang ijazah sarjana muda seni bina ini memberitahu, tema itu seiring dengan falsafah serta objektif yang menjadi fokus utama syarikat.

“Kalau dalam dunia hiburan ia memberi makna meningkatkan pencapaian tanpa ada sempadan.

“Bagi kami, ia lebih kepada meningkatkan kualiti kerja, mempelbagaikan pengeluaran produk dan berjaya mengatasi produk dari luar negara.

“Tidak mustahil, suatu hari nanti, kami mampu menghasilkan kosmetik yang tidak pernah dihasilkan jenama antarabangsa,” katanya.

Alha berpuas hati sambutan yang diberi terhadap produk keluarannya sangat menggalakkan.

“Ini kerana kosmetik kami dihasilkan secara organik, lulus ujian makmal dan mendapat pengiktirafan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Lebih mengujakan apabila mereka yang selama ini menggunakan jenama antarabangsa terutama golongan selebriti, sudah beralih kepada jenama kami.

“Satu pencapaian yang sangat memberangsangkan kerana secara tidak langsung, produk tempatan juga berkualiti sama seperti jenama luar negara,” ujar anak jati Kuala Lumpur ini.

Dilancarkan hari ini, peminat boleh mengundi artis pilihan dengan melayari www.abpbh.com.my, mulai esok sehingga 25 September depan.