Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Hanya biskut tawar jadi pengalas perut

30 Dec 2022 | Affan Rostam

KUALA LUMPUR: "Saya makan biskut tanpa gula dan minum air tawar sahaja sekarang." Begitu keadaan pelakon veteran, Maimunah Ahmad, 74, atau lebih dikenali sebagai Mak Jah yang dimasukkan ke Hospital Ampang, Selangor, sejak Khamis lalu, berikutan masalah kencing manis atau diabetes.

Dramatis yang terkenal dengan watak antagonis itu berkata, buat masa ini, dia perlu dipantau doktor pakar dan menjalani pelbagai rawatan susulan di hospital.

"Saya masih ditahan di hospital dan belum dibenarkan keluar akibat masalah kencing manis yang turun naik.

"Kalau diikutkan semalam (Selasa) sudah boleh keluar, tapi saya masih lagi memerlukan rawatan susulan dan dipantau tahap kesihatan oleh doktor pakar.

"Sekarang, keadaan masih sama dan perlu dipantau dengan lebih kerap.

"Cuma kena tengok selepas ini bagaimana (tahap kesihatan), mungkin kalau sudah makin baik saya akan dibenarkan pulang," katanya kepada BH Online.

Mak Jah yang terkenal dengan lakonannya menerusi filem Mami Jarum itu menjelaskan, dia perlu berhati-hati dalam soal pemakanan.

Sehubungan itu, Mak Jah perlu mengelak daripada mengambil makanan atau minuman bergula.

"Daripada segi makanan, saya perlu berpantang sekarang.

"Makanan bergula langsung tidak boleh disentuh. Selain itu, saya perlu ambil susu diabetes dalam fasa pemulihan sekarang.

"Doktor sudah ambil darah untuk mendapatkan bacaan gula saya pada tahap mana.

"Jadi, setakat ini, Alhamdulillah tiada masalah serius," katanya.

Mak Jah menzahirkan ucapan terima kasih buat semua pihak yang masih sudi mengambil berat dan mendoakan kesejahteraannya.

"Terima kasih semua yang mengambil berat dan sentiasa mendoakan saya.

"Saya perlu banyakkan berehat atas nasihat doktor sekarang, jadi, doakan saya," katanya.

Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Tukiman Radion dan Ahli Jawatankuasa PKAVM, Norlidyawati Shabullah menziarahi Mak Jah di Hospital Ampang, baru-baru ini. - Foto Ihsan FB Norlidyawati Shabullah
Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Tukiman Radion dan Ahli Jawatankuasa PKAVM, Norlidyawati Shabullah menziarahi Mak Jah di Hospital Ampang, baru-baru ini. - Foto Ihsan FB Norlidyawati Shabullah

Minggu lalu, Mak Jah dibawa ke hospital selepas anaknya mendapati dia tidak bermaya.

Pelakon itu kemudian disahkan mengalami paras diabetes yang tinggi dan perlu dirawat sementara waktu.

Pada 2016, Mak Jah pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menghidap kanser rahim tahap pertama sebelum disahkan bebas daripada penyakit itu pada April 2019.

Dalam proses rawatan kanser, Mak Jah dilaporkan tidak aktif dalam dunia lakonan selama empat tahun.

Dalam temu bual bersama HIP, Mak Jah dilaporkan tidak memakan daging, sebaliknya mengambil sayur, ikan dan buah-buahan.

"Saya jaga pemakanan kerana tidak mahu kanser kembali menyerang," katanya.

Berikutan tidak berlakon, Mak Jah pernah mengalami masalah kewangan.

"Terus-terang, wang simpanan sudah tiada. Bukan itu sahaja, barang kemas dijual.

"Dianggarkan RM52,000 saya habiskan untuk perubatan sejak menghidap kanser," katanya.

Disebabkan penyakitnya, pelakon drama Tak Sempurna Mencintaimu ini mengelak pergi ke tempat tumpuan ramai, apatah lagi, dia berisiko tinggi dijangkiti virus COVID-19.

"Kalau tengok tempat ramai orang, saya lebih suka duduk dalam kereta. Iyalah, kita ada penyakit, takkanlah nak tambah penyakit lagi.

"Apa yang ada (penyakit) sekarang saya mahu elak, apa yang datang, janganlah ditempuh.

"Saya juga berjaga-jaga di lokasi penggambaran. Saya terima tawaran berlakon dengan produksi yang tahu kelemahan saya," katanya.

Berstatus ibu tunggal dengan tiga cahaya mata. Mula berlakon secara serius melalui drama Sri Panggung terbitan Serangkai Filem pada 1987.