Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Floor 88 teruja beraksi dengan kumpulan idola, Wali Band

08 Apr 2023 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Dipilih berkongsi pentas bersama kumpulan popular Indonesia, Wali Band pada acara Dream Festival Collaboration Volume 2, bulan depan, kumpulan tempatan, Floor 88, cukup berbesar hati.

Apatah lagi karya Wali Band sentiasa menjadi rujukan anggota Floor 88 sejak dari zaman persekolahan.

Vokalis Floor 88, Ayie atau nama sebenar, Nik Fadlee Elhamshah berkata, persembahan dengan Wali Band diharap dapat memberi impak positif terhadap muzik Malaysia dan Indonesia yang berkait rapat.

"Kami bersyukur terpilih berkongsi pentas dengan nama besar seperti Wali Band. Ini bukan band yang boleh dipandang kecil. Ini peluang keemasan buat kami menimba pengalaman dengan kumpulan yang sudah 24 tahun bertahan dalam industri muzik.

"Sudah tentu kami tidak sabar bertemu pemuzik yang menjadi rujukan kami sejak di bangku sekolah.

"Berkongsi pentas bersama mereka adalah suatu penghormatan besar dan kami akan buat yang terbaik untuk konsert itu nanti," katanya.

Floor 88 berharap konsert dijayakan bersama Wali Band, bulan depan, dapat meninggalkan impak positif kepada muzik Malaysia dan Indonesia. Foto Ihsan Penganjur Konsert Dream Festival Collaboration
Floor 88 berharap konsert dijayakan bersama Wali Band, bulan depan, dapat meninggalkan impak positif kepada muzik Malaysia dan Indonesia. Foto Ihsan Penganjur Konsert Dream Festival Collaboration

Dream Festival Collaboration Volume 2 akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, di sini, pada 20 Mei depan.

Selain Ayie, Floor 88 dibarisi Eric Fuzi yang bermain keyboard; Achoi (gitar); Falique (bes); Akram (dram) dan Amir (gitar kedua).

Sementara itu, Eric berkata, akibat terlalu teruja, mereka tidak berlengah-lengah memberi persetujuan sebaik menerima tawaran beraksi dengan Wali Band.

"Apabila kami terima tawaran melalui mesej dalam kumpulan WhatsApp, kami seronok dan terus 'lock' (bersetuju) disebabkan terlalu teruja," katanya.

Eric berkata, muzik bersifat universal dan menjalin kehidupan manusia sejagat.

"Apatah lagi muzik yang dibawa Wali Band dan Floor 88 tidak jauh beza apabila menyatukan unsur humor dan mesej yang jarang diketengahkan pemuzik lain," katanya.

Pada Dream Festival Collaboration Volume 2, Floor 88 akan mempersembahkan lagu wajib sama seperti Wali Band.

Tambah Eric, berkemungkinan ada sesi duet antara vokalis kedua-dua band khusus buat peminat.

Sementara itu, Pengarah Projek DreamFestWorld, Rama Ananda Ambri berkata, Dream Festival Collaboration menjadi titik penting buat pemuzik Malaysia dan Indonesia apabila mengetengahkan gandingan nama popular dan berpotensi besar dari dua negara di satu pentas.

Rama Ananda atau mesra disapa Anda berkata, besar harapan penganjur untuk melihat Dream Festival Collaboration menjadi sebuah jenama utuh, sekali gus meraikan karya hebat pemuzik serantau.

Sehubungan itu, Rama Ananda berkata, pihaknya mempunyai impian besar untuk membawa bakat dari Malaysia beraksi pada siri persembahan Dream Festival di Indonesia kelak.

"Kami berharap inisiatif yang digerakkan Inspire IDN ini dapat meninggalkan memori indah, sekali gus memberikan apresiasi terhadap usaha pengkarya seni kedua-dua negara melalui perkongsian idea dan persembahan," katanya.

Floor 88 dan Rama Ananda berkongsi butiran Dream Festival Collaboration Volume 2 pada sidang media virtual bersama media tempatan, baru-baru ini.