Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Dalam usaha mencari bakat baharu untuk digandingkan dengan penyampai Hot FM, Fizi Ali dalam segmen Hot Squad, stesen radio popular itu menganjurkan program 'Fizi Cari Jodoh DJ', baru-baru ini.
Dilancarkan sejak 8 Januari lalu, program itu terbuka kepada orang ramai dan pendengar Hot FM termasuk pempengaruh media sosial, selebriti serta ahli sukan yang berminat menjadi penyampai radio.
Mendapat sambutan menggalakkan, program 'Fizi Cari Jodoh DJ' akhirnya memilih 16 peserta yang menghantar penyertaan melalui platform media sosial Instagram (IG) dan TikTok. Daripada jumlah itu, hanya enam peserta terbaik dipilih mara ke pusingan akhir.
Semua finalis sebelum itu diwajib menyempurnakan pelbagai tugasan seperti tampil ke udara bersama Fizi, melakukan aktiviti kemasyarakatan dan tugasan membuat pesanan khidmat masyarakat (PSA) serta kandungan digital.
Kemuncak saringan, Ahad lalu, gadis dikenali sebagai Aisha Mazlin diumumkan sebagai 'jodoh' atau juara program 'Fizi Cari Jodoh DJ' yang bakal digandingkan dengan Fizi mengendalikan segmen Hot Squad kelak.
Aisha memenangi wang tunai bernilai RM5,000 serta kontrak selama setahun bersama Hot FM.
Aisha bersama lima finalis iaitu Asha Faudzi, Affiq, AG Hafiz, Aleya Lee dan Nisa Kay berentap pada pusingan akhir di The Paddock, Petaling Jaya.
Mereka diberi tugasan terakhir termasuk dikehendaki menemubual finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37, Ahad ini.
Fizi berkata, semua peserta menunjukkan prestasi cukup memberangsangkan dan menyempurnakan tugas diberi dengan baik.
"Menang atau kalah adat pertandingan. Saya harap mereka yang tidak berjaya akan terus sukses dalam apa juga laluan dipilih," katanya.
Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM, Digital & Audio+, Shah Hayatudin, berkata Hot FM akan terus berusaha mengembangkan bakat baharu dalam program seumpama itu.
"Tahniah kepada Aisha Mazlin dan selamat datang ke keluarga Hot FM!
"Setiap daripada mereka yang menyertai program ini ada bakat dan kemahiran yang sangat luar biasa. Duo terbaharu iaitu Fizi dan Aisha akan menjadi antara satu gandingan terbaik untuk pendengar Hot FM.
"Teruskan mendengar Hot FM sepanjang hari serta nantikan kempen menarik di Hot FM," katanya.
Selain melalui frekuensi ditetapkan, Hot FM boleh diikuti secara penstriman di www.hotfm.audio dan YouTube Hot TV.
Untuk perkembangan dan pengisian digital paling hangat, ikuti laman sosial Hot FM di Facebook Hot FM, Instagram @hotfm976 serta Twitter @hotfm976 dan Whatsapp di 017-302 8822.
Dengarkan Hot FM melalui aplikasi Audio+, yang boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play dan Huawei App Gallery.