Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
PETALING JAYA: Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu di perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama di sini, hari ini meriah dengan pelbagai aktiviti disertai kira-kira 500 penonton berdaftar.
Fiesta yang mengisi program sambutan ulang tahun ke-38 TV3, merapatkan hubungan stesen televisyen (TV) itu dengan penonton, selain memberi peluang kepada peminat beramah mesra dengan artis jemputan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Nini Yusof berkata, Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu dianjurkan sebagai tanda terima kasih kepada penonton setia yang tidak pernah jemu memberi sokongan padu.
"Tahun ini, kami rancang lebih awal untuk menyambut ulang tahun TV3 ke-38. Jadi, untuk bulan ini, kami menyediakan banyak kandungan istimewa.
"Contohnya, seminggu sebelum bermulanya Jun, kami jemput pembaca Buletin Utama (BU) dan mereka digabungkan dengan penyampai berita baharu. Alhamdulillah, usaha ini mendapat 'rating' yang sangat baik.
"Selain itu, kami juga mengundang hos terdahulu dalam program bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI) dan Wanita Hari Ini (WHI).
"Tidak hanya itu, kami menyiarkan drama hebat seperti Melur Untuk Firdaus, Kerana Aku Isteri Bidaan dan Bisik-Bisik Gelora," katanya ditemui pada fiesta itu di sini, hari ini.
Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu dirasmikan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid pada jam 11.30 pagi tadi.
Nini berkata, pada 15 Jun lalu, TV3 meraih peratus syer penonton tertinggi pada kadar 27 peratus secara purata dalam tempoh sehari manakala 52 peratus pada waktu perdana.
"Tiga drama yang ditayangkan mencapai lebih 2.5 juta penonton ketika bersiaran dari jam 7 malam sehingga 11 malam," katanya.
Nini berkata, Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu bagaimanapun terbuka kepada 500 penonton berdaftar sesuai dengan fasa peralihan endemik.
"Selepas dibenarkan penonton hadir ke fiesta ini, kami kami buka penyertaan kepada 500 orang untuk sama-sama meraikan ulang tahun TV3.
"Jadi, kita boleh lihat ramai peniaga menjual kek kerana sesuai dengan tema hari jadi," katanya.
Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu bermula pada jam 9 pagi dengan pelbagai aktiviti menarik, malah, hadiah istimewa turut disediakan kepada orang ramai.
Antara aktiviti yang dianjurkan adalah cabaran menghias kek cawan kategori kanak-kanak, menghias kek antara selebriti popular dan peminat yang menampilkan Aniq Suhair.
Selain itu, demonstrasi dekorasi kek oleh cef selebriti, Dr Ezani Monoto dan Nabila Asyiqin turut dianjurkan.
Pertandingan menghias kek keluarga selebriti disertai famili Sharifah Shahirah, Haziq Hussni dan Ezzaty Abdullah.
Orang ramai juga dihiburkan dengan persembahan Nabila Razali, Hael Husaini, Naim Daniel, Sarah Suhairi, Suki Low, Syafeek Ikhwan, Zazo Maulana, Haris Fayahet, Wanie Ooi dan Aman Aziz.
Peminat juga berpeluang beramah mesra dengan artis popular seperti Anna Jobling, Hisyam Hamid, Siti Nordiana, Liza Abdullah dan Emma Maembong yang tampil dalam drama terbitan TV3.
Sempena filem terbaharu, Jurassic World Dominion yang sedang ditayangkan di pawagam, pameran Jurassic Park World Dominion turut dianjurkan.
Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu yang berlangsung hingga jam 3 petang menampilkan Fiza Frizzy dan Cef Fikree sebagai hos acara.