Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Faktor Michelle Yeoh pikat delegasi ke Pavillion Malaysia

07 Jun 2023 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Kemenangan bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh di pentas Anugerah Academy (Oscar) memberi impak positif apabila Pavillion Malaysia yang dibuka di ekspo filem terbesar dunia, Marce Du Film di Cannes, Perancis, baru-baru ini, menjadi tumpuan anggota delegasi dari seluruh dunia.

Kejayaan Yeoh meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Everything Everywhere All At Once (EEAAO) membuatkan ramai anggota delegasi menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Malaysia serta produk filem yang ditawarkan.

Membawa Syarikat Produksi Seni Dua Puluh Dua Puluh Sdn Bhd ke acara itu, Datuk Nancie Foo berkata, banyak pertanyaan diterima daripada anggota delegasi asing mengenai Malaysia sepanjang ekspo yang berlangsung selama sembilan hari, mulai 16 Mei lalu.

"Kita tidak dapat sangkal kejayaan Yeoh yang mengharumkan nama negara menyebabkan Pavillion Malaysia menjadi tumpuan.

"Ramai anggota delegasi menunjukkan minat untuk menjalin usaha sama dengan produksi tempatan.

"Banyak topik dapat dibincangkan sepanjang hampir seminggu di Cannes. Kami juga dapat lihat banyak wakil delegasi menunjukkan minat kepada produk dari Asia," katanya kepada BH Online.

Nancie dan rakan kongsinya, Datin Wendy Wong yang membawa filem Sumpahan Jerunai pada ekspo itu berkata, penyertaan ke ekspo pasaran filem terbesar dunia itu dianggap usaha baik yang perlu mendapat sokongan lebih besar terutama daripada Kementerian Komunikasi dan Digital.

"Kami amat berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atas usaha membawa filem tempatan ke pasaran global.

"Kami (produksi tempatan) umpama anak-anak yang memerlukan ayah. Tanpa sokongan FINAS, tentunya sukar untuk produser tempatan membawa produk kami ke acara seperti ini," katanya.

Nancie berkata, sepanjang tujuh hari di Cannes, dia dan Wendy mendapat pelbagai pengalaman ditimba terutama dalam menjual produk ke pasaran dunia.

"Sebelum ini, fokus kami hanya untuk mencari pembeli filem, namun, kali ini, kami melantik ejen," katanya.

Nancie (kanan) bersama rakan kongsinya, Datin Wendy Wong membawa filem Sumpahan Jerunai untuk ke pasaran dunia. - Foto Nancie Foo
Nancie (kanan) bersama rakan kongsinya, Datin Wendy Wong membawa filem Sumpahan Jerunai untuk ke pasaran dunia. - Foto Nancie Foo

Nancie berkata, pelantikan ejen memudahkan urusan syarikat produksi yang menyertai ekspo filem berkenaan.

"Sebelum ini, fokus saya dan Wendy adalah untuk mencari prospek berpotensi yang mahu membeli produk kami. Namun, kali ini, urusan itu kami serahkan kepada ejen.

"Jadi, kami ada banyak masa untuk urusan lain seperti menyertai pelbagai persidangan dan menonton filem yang ditayangkan sepanjang ekspo.

"Selain itu, kami sempat bertemu wakil delegasi dari Thailand, Filipina dan beberapa negara lain bagi membincangkan potensi projek usaha sama atau produk bersama," katanya.

Nancie berkata, semua anggota delegasi bersama pegawai FINAS mengadakan 'post mortem' sekembalinya ke tanah air, bagi mengenalpasti perkara yang boleh diatasi agar rombongan selepas ini lebih bersedia.

"Biasanya, kita akan adakan sesi 'post mortem' untuk memperbaiki produk filem supaya lebih menonjol.

"Selain itu, kita berbincang bagaimana hendak mendapatkan perhatian yang lebih berbanding wakil negara Asia lain," katanya.

FINAS yang diketuai Pengerusinya, Datuk Kamil Othman mengadakan sesi perkongsian bersama delegasi dari seluruh dunia pada ekspo di Cannes.

Marche Du Film adalah perhimpunan terbesar industri filem bagi pengeluar, pembiaya, penyiar, pengedar, pembekal dan pembeli dari seluruh dunia untuk bertemu, berkongsi idea serta membuat pelbagai tawaran.