Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Dimensi Muzik AJL 37

20 Jan 2023 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun Anugerah Juara Lagu (AJL) berlangsung dalam skala kecil berikutan pandemik COVID-19, edisi ke-37 program pencarian lagu terbaik yang bakal menggegar Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, bulan depan, ini dirancang lebih gah.

Pada 12 Februari depan, peminat muzik tempatan dijanjikan pengisian lebih menarik, penuh kreativiti dan berbeza apabila AJL 37 dipancarkan secara langsung TV3 dari lokasi ikonik itu.

Jaminan itu diberi Penerbit Eksekutif AJL 37, Jamil Hassan yang berkongsi perancangan TV3 demi memastikan peminat tegar acara anugerah tahunan itu berpuas hati dan terhibur.

"Sebelum ini, kami lakukan sesi sumbang saran mengenai konsep dan perjalanan acara malam kemuncak AJL 37.

"Untuk edisi kali ini, apa yang boleh kami katakan adalah kandungannya sangat berbeza dengan apa yang pernah kita persembahkan.

"Kami sedar program ini mempunyai ramai pengikut dan mereka hendak tahu apa yang akan kami sajikan. Mereka hendak tahu gimik dan 'props' yang akan digunakan termasuk dalam aspek kualiti bunyi.

"Peminat juga mahu lihat kehebatan segmen pembukaan dan 'interlud'. Jadi apa yang kami boleh janjikan melalui tema Dimensi Muzik yang diketengahkan, konsepnya diterjemahkan melalui persembahan penyanyi bertanding dan artis undangan.

"Ini merangkumi elemen imbas kembali, refleksi, genre lagu dan zaman," katanya pada sidang media memperkenalkan hos dan tema AJL 37 di Bandar Utama, Petaling Jaya, kelmarin.

Dari kiri, Jamil, Russell, Shahila dan Farah pada sidang media memperkenalkan hos serta tema AJL 37, di Petaling Jaya, kelmarin. - NSTP/Aziah Azmee
Dari kiri, Jamil, Russell, Shahila dan Farah pada sidang media memperkenalkan hos serta tema AJL 37, di Petaling Jaya, kelmarin. - NSTP/Aziah Azmee

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Pengurus Besar Pemasaran Kandungan & Kreatif TV3, Farah Shamsudin.

Hadir sama, Pengurus Projek AJL 37, Russell Mark Rodrigues dan Ketua Pegawai Operasi, MYTV Broadcasting Sdn Bhd, Azlina Mohd Yusof.

Untuk malam kemuncak AJL 37, mandat diberi kepada dua pengacara wanita popular, Sherry Alhadad dan Jihan Muse sebagai hos utama.

Jamil berkata, tema Dimensi Muzik menterjemahkan suasana industri muzik tanah air yang sentiasa rancak dengan karya daripada pelbagai genre muzik.

Tambah Jamil, bagi penonton yang membeli tiket untuk menyaksikan acara itu secara langsung di depan mata, mereka tidak perlu risau kerana apa yang akan disaksikan memberi nilainya sangat berbaloi dengan harga tiket.

"Apabila penonton masuk sahaja ke dalam stadium itu, mereka akan lihat pentas yang sangat besar serta dilengkapi lebih 2,000 panel Diod Pemancar Cahaya (LED).

"Kami senaraikan artis gred A sebagai peserta. Tarikan adalah pada pengacara iaitu Sherry dan Jihan yang cukup serasi, berdedikasi serta mempunyai ramai peminat," katanya.

Biarpun memberikan kebebasan penuh kepada 12 finalis untuk berkarya pada malam kemuncak, Jamil mengingatkan mereka agar tidak menyalahguna lesen kreatif yang diberi.

"Untuk mengelak berlakunya kontroversi yang boleh mencalarkan reputasi dan kewibawaan AJL, kami beri amaran kepada peserta agar persembahan tidak menyentuh sensitiviti masyarakat atau mana-mana agama. Persembahan atau penampilan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman perlu dielak.

"Kami juga pastikan juri yang terpilih tidak mempunyai kaitan dengan lagu yang dinyanyikan peserta untuk mengelak konflik berkepentingan peribadi," katanya.

Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi beraksi di pentas AJL 37 menerusi lagu Debu. - NSTP/Aziah Azmee
Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi beraksi di pentas AJL 37 menerusi lagu Debu. - NSTP/Aziah Azmee

Pada sidang media itu, penganjur turut memperkenalkan Muaz Mohamed dan Fiza Frizzy sebagai pengacara Karpet Merah, manakala Imran Aqil dan Nadia Hasnan bertindak hos belakang pentas AJL 37.

Seramai 12 finalis berentap pada AJL 37 iaitu Aina Abdul yang mempertaruhkan lagu Terus Hidup hasil ciptaan beliau sendiri dan Ernie Zakri yang menepati ramalan apabila lagu Korban ciptaannya, mara ke pentas akhir.

Selain itu, lagu Bahagiakan Dia ciptaan penyanyi muda, Alif Iskandar dengan lirik dihasilkan Alif dan Que Afiq. Lagu ini dinyanyikan secara duet oleh Shila Amzah dan Liza Hanim.

Sembilan lagi lagu yang layak ke AJL37 ialah Suatu Malam Di Temasek dendangan Joe Flizzow dan SonaOne ciptaan SonaOne dengan lirik dihasilkan SonaOne dan Joe Flizzow; Anugerah Terindah (Alif Satar & The Locos/ciptaan Alif Satar, Romeo, Tam Cobain, Arwis/lirik Alif, Shah Shamshiri dan Romeo); Debu (Dayang Nurfaizah, Amir Masdi/ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam, Acap Salim).

Turut bersaing, Kembali Terang (Marsha Milan/ciptaan Senna dan Ajin/lirik Senna); Nang (Iman Troye/ciptaan Ezra Kong dan A Ramle) serta Payung Pelangi (Noki, MK/ciptaan dan lirik Noki, MK).

Tidak ketinggalan, Sengsara (Khai Bahar/ciptaan Johm Reeves, Firdaus Rahmat dan Omar K); Irama (Shiha Zikir/ciptaan Qie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves) dan Mainan (Naim Daniel/ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga/lirik Arizs Ab Rahman).

Tiket berharga antara RM50 hingga RM300 boleh dibeli dengan melayari laman web www.tonton.com.my mulai Isnin ini.

Julung kali menggandingkan dua hos wanita, Sherry Alhadad dan Jihan Muse bagi mengemudi acara itu.