Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Black Knight taruhan Kim Woo Bin selepas bebas kanser

11 May 2023 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun berehat akibat bertarung nyawa penyakit kanser, bintang K-Drama popular, Kim Woo Bin tampil sebagai hero dalam drama bersiri terbaharu, Black Knight terbitan Netflix.

Pelakon dan model tinggi lampai yang disahkan menghidap nasopharyngeal, sejenis kanser membabitkan saluran pernafasan dan tekak pada 2017 itu nyata teruja apabila drama itu bakal ditayangkan serentak secara global pada 12 Mei ini.

Woo Bin menerusi temu bual secara virtual secara langsung dari Seoul berkata, faktor utama mahu menjayakan drama bersiri aksi dan sains fiksyen itu disebabkan pengarahnya, Cho Ui Seok.

"Faktor utama membuatkan saya memutuskan terbabit dalam drama bersiri kerana Ui Seok.

"Kami pernah bekerjasama menerusi filem Master, tujuh tahun lalu. Memandangkan saya sangat seronok bekerja dengannya, saya merasakan ini adalah peluang bagus untuk kembali bekerjasama.

"Dan bila membaca skrip, saya berfikir bahawa situasi diketengahkan mungkin boleh berlaku pada masa akan datang. Situasi digambarkan dalam drama ini sangat terperinci, benar-benar menyentuh perasaan saya," katanya.

Menerusi temubual yang berlangsung selama satu jam itu, Woo Bin juga ditemani oleh pelakon yang turut membintangi drama itu iaitu Esom, Song Seung Hoon dan Kang You Seok serta pengarah, Ui Seok.

Drama Black Knight dibintangi oleh Song Seung Hoon (kiri), Kim Woo Bin, Esom dan Kang You Seok. - Foto Ihsan Netflix
Drama Black Knight dibintangi oleh Song Seung Hoon (kiri), Kim Woo Bin, Esom dan Kang You Seok. - Foto Ihsan Netflix

Kata Woo Bin, kerjasama dengan barisan pelakon hebat juga antara pengalaman menyeronokkan, malah turut berterima kasih digandingkan dengan rakan pelakon yang berjaya membawa watak dengan baik.

"Setiap kali saya mempunyai adegan bersama Seung Hoon, dia memimpin dengan baik, jadi ia membuatkan saya selesa dan bersyukur bergandingan dengannya. You Seok pula seorang yang ceria dan saya juga berterima kasih dengan kehadirannya.

"Walaupun tidak banyak adegan bersama, tetapi saya diminta memantau lakonannya supaya dapat bekerja dalam suasana harmoni. Jadi situasi ini membuatkan kami lebih rapat di set penggambaran.

"Menerusi drama Black Knight, kami menjadi kawan baik kerana selalu lepak bersama. Mereka adalah pelakon yang hebat dan kami selesa bersama.

"Kami keluar dan meluangkan masa bersama selepas penggambaran. Malah, kami baru sahaja makan malam bersama," katanya.

Black Knight diadaptasikan dari siri kartun web berjudul sama, tulisan Lee Yoon Gyun.

Pengarah, Ui Seok yang juga dikenali menerusi hasil kerjanya seperti Master dan Cold Eyes, menambahbaik mengikut cita rasanya dan menyuntik kelainan menerusi enam episod.

Drama bersiri ini berlatar belakang masa depan iaitu tahun 2071, di mana kualiti udara sangat buruk sehingga memberi kesan kepada populasi manusia di muka bumi.

Woo Bin berperanan sebagai kesatria yang menghantar oksigen pada manusia untuk kelangsungan hidup dan sesuai dengan gelarannya, Woo Bin bertukar menjadi Black Knight ketika malam menjelma.

Woo Bin menggambarkan wataknya sebagai pejuang mempunyai tekad kuat dalam memperjuangkan hak sama rata antara setiap individu.