Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Terpilih dalam kalangan 12 penerima Anugerah Ikon Ekspresi Seni pada program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia (Ekspresi@FINAS), bulan lalu, membakar semangat aktres jelita, Erra Fazira, untuk terus aktif.
Erra yang digelar Primadona Filem Melayu terharu atas penganugerahan yang diberi atas sumbangan besarnya dalam dunia lakonan.
Namun, bagi Erra, kecil atau besar pengiktirafan diterima, ia menjadi pembakar semangat untuk terus memberi yang terbaik kepada dunia seni.
"Syukur atas setiap pengiktirafan sama ada kecil mahupun besar. Anugerah ini dapat menambah semangat untuk saya terus memberi yang terbaik kepada dunia lakonan.
"Saya berharap lebih ramai lagi penggiat dalam industri mendapat pengiktirafan selain industri seni terus diperkasa," katanya kepada BH Online.
Pada program Ekspresi@FINAS di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Klang, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan Anugerah Ikon Ekspresi Seni kepada 12 penerima merangkumi pelakon, pengarah, penerbit dan pekerja belakang tabir.
Pelbagai pengisian menarik disediakan pada program Ekspresi@FINAS iaitu sesi uji bakat bersama syarikat produksi bagi menggilap bakat baharu, tayangan dan apresiasi filem tempatan serta persembahan penggiat industri kreatif dan komuniti.
Turut dianjurkan sesi perkongsian ilmu bersama penggiat industri, ramah mesra bersama artis, pembentangan idea bagi Dana Mikro bertemakan Keluarga Malaysia berjumlah RM5,000, gerai jualan serta banyak lagi.
Erra menganggap program Ekspresi@FINAS sebagai usaha baik yang dapat membuka ruang dan peluang kepada orang ramai untuk melihat dengan lebih dekat perkembangan industri seni tanah air.
"Ini memberi peluang dan ruang kepada penggiat seni yang serius untuk menghasilkan karya dengan bantuan dana disediakan," katanya.
Pengarah filem Paskal, The Assistant, Wira dan terbaru, Malbatt: Misi Bakara, Adrian Teh bangga menjadi salah seorang penerima anugerah.
Adrian mengaku terkejut apabila dirinya dan Syamsul Yusof dipilih bagi kategori pengarah.
"Saya tidak tahu kriteria yang melayakkan saya menerima anugerah ini. Namun, saya sangat bangga.
"Saya puji FINAS atas kejayaan menganjurkan program Ekspresi@FINAS kerana sudah lama aktiviti seperti ini tidak dianjurkan akibat pandemik COVID-19.
"Aktiviti begini harus dianjurkan lebih kerap lagi supaya orang ramai dapat tahu dengan lebih dekat industri seni khususnya perfileman," katanya.
Ismail Sabri menyampaikan Anugerah Ikon Ekspresi Seni kepada Erra pada majlis program Ekspresi@FINAS di Kompleks FINAS, Hulu Klang.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa.