Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Anak, keluarga penyeri Syawal

21 Apr 2023 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Biarpun kemelut rumah tangga dengan suami, Syamsul Yusof belum berkesudahan, pelakon, Puteri Sarah Liyana, 38, tidak tertekan, malah mahu menyambut hari raya dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

Puteri Sarah atau nama penuh, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin menganggap tiada apa yang perlu ditangisi, apatah lagi, meratap pada hari kemenangan umat Islam itu.

Puteri Sarah enggan larut dalam mainan emosi, apatah lagi, dua permata hati iaitu Syaikhul Islam dan Summayyah ada di sisi, selain keluarga sendiri dan mentua.

"Sambutlah hari raya dengan gembira tanpa memikirkan masalah. Tidak perlu kita hendak merenung semula apa yang sudah terjadi.

"Hari raya adalah hari untuk bergembira, bukan untuk kita bersedih.

"Jadi, saya beraya di Kuala Lumpur bersama ibu bapa mentua, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail. Selepas solat Zohor, saya pulang ke Kulim, Kedah.

"Pada hari raya kedua, saya bersama keluarga termasuk ibu bapa mentua memilih untuk bercuti di Pulau Pinang selama tiga hari dua malam," katanya kepada BH Online.

Tetap menyambut hari raya bersama keluarga mentua dan famili sendiri, Puteri Sarah mengaku tiada apa yang berbeza dengan sambutan lebaran kali ini.

"Memang tiada beza, hari raya saya sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Saya gembira apabila Aidilfitri dapat disambut bersama keluarga.

"Bagi saya, Aidilfitri membawa makna mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga. Jadi, saya sangat bersyukur masih berpeluang merasai nikmat itu.

"Tahun lalu, saya sambut Syawal di Makkah bersama anak-anak. Disebabkan saya baru pulang daripada mengerjakan Umrah, jadi, saya merancang untuk beraya bersama keluarga kali ini," kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Tetap menyambut hari raya bersama keluarga mentua dan famili sendiri, Puteri Sarah mengaku tiada apa yang berbeza dengan sambutan lebaran kali ini. - Foto IG Puteri Sarah
Tetap menyambut hari raya bersama keluarga mentua dan famili sendiri, Puteri Sarah mengaku tiada apa yang berbeza dengan sambutan lebaran kali ini. - Foto IG Puteri Sarah

Pilihan untuk beraya di Malaysia bersama keluarga juga didorong komitmen di lokasi penggambaran dengan jadual kerja padat.

Puteri Sarah berkata, dia akan menyambung penggambaran drama Andai Itu Takdirnya dan Hijrah Jannah, Rabu ini, sebelum 'terbang' ke Jakarta, Indonesia, bagi menjayakan penggambaran filem.

"Pada pertengahan bulan depan, saya kena 'terbang' Jakarta untuk menjalani penggambaran filem. Tajuk filem saya tak boleh beritahu lagi, tapi saya akan berlakon bersama pelakon handalan, Hanung Bramantyo.

"Selain berlakon, saya akan menyelesaikan proses rakaman lagu yang dicipta bersama komposer dan pemuzik Indonesia, Ade Govinda.

"Ade akan memilih penyanyi wanita dari Malaysia untuk menyanyikan lagu itu. Kami kemudian akan rakamkan video muziknya.

"Ade menulis lirik di mana berkisar kisah hidup saya. Tetapi, single itu bukan lagu cinta yang sedih. Saya tidak mahu begitu. Saya mahu lagu yang membuatkan wanita kuat dan teruskan hidup.

"Sekarang Ade sudah hampir selesaikan projek ini. Kami sedang mencari masa untuk bertemu dan merakamkan lagu serta video muzik. Insya-Allah semuanya dirancang selepas Aidilfitri," katanya.

Selain single, Puteri Sarah mencatat kisah hidupnya melalui buku yang akan dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, tidak lama lagi.