Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

AJL 37 serlah kebangkitan komposer, penyanyi muda

28 Nov 2022 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Senarai 12 lagu yang memburu gelaran Juara Lagu diumumkan sebaik Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-37 yang dipentaskan menerusi dua episod melabuhkan tirai di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, petang kelmarin.

Jika tahun lalu, dominasi 17 lagu bergenre balada daripada 30 lagu dipertandingkan pada peringkat SFMM 36 menyebabkan juri terpaksa membuat penilaian teliti bagi menentukan lagu yang layak mara ke pentas AJL, tahun lalu.

Namun, berbeza pula cabarannya, tahun ini. Komposer dan penyanyi muda dilihat mendominasi keputusan SFMM 37 yang diumumkan menerusi siaran secara langsung di TV3, kelmarin.

Ia secara tak langsung memperlihatkan petanda positif terhadap 12 lagu bakal berentap ke pentas AJL 37 yang bakal berlangsung dari Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari tahun depan.

Ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail, berpendapat karya muzik dihasilkan dalam tempoh pandemik rata-ratanya sangat bagus sehingga menyukarkannya barisan juri membuat pilihan karya yang layak berentap ke pentas AJL 37.

"Bukan hanya 12 lagu yang layak ke AJL37, tetapi sebanyak 30 lagu yang bertanding pada peringkat SFMM 37 kebanyakannya dihasilkan oleh komposer muda.

"Saya percaya inilah adalah kebangkitan komposer dan penyanyi generasi baharu.

"Ditambah pula dengan penggunaan teknologi dan barisan penyanyi berbakat besar, sekali gus membuatkan kombinasi ini membawa kepada kreativiti luar jangkaan.

"Mungkin masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, karyawan muzik hanya duduk di rumah, lalu memberikan inspirasi kepada mereka menghasilkan karya lebih bermutu," katanya kepada HIP selepas ditemui selesai persembahan SFMM 37, petang kelmarin.

Bagaimanapun, Mokhzani berkata, meskipun AJL adalah pentas ujian buat komposer, tetapi penyanyi yang memikul tanggungjawab sebagai perantaraan juga memainkan peranan penting.

"Disebabkan itu, kami melihat persembahan secara langsung. Ini disebabkan menerusi album, semua orang boleh menyanyi dengan sedap, apatah lagi dengan bantuan teknologi hari ini," katanya.

Lagu Debu kolaborasi Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi turut mara ke pentas akhir AJL 37. - NSTP/Ezairi Samsudin
Lagu Debu kolaborasi Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi turut mara ke pentas akhir AJL 37. - NSTP/Ezairi Samsudin

Antara lagu dihasilkan oleh komposer muda termasuk Terus Hidup nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Aina Abdul.

Seterusnya, lagu Bahagiakan Dia kolaborasi Shila Amzah dan Liza Hanim ciptaan Aliff Iskandar, manakala lirik dihasilkan Aliff dan Que Afiq.

Lagu Payung Pelangi yang menampilkan anggota kumpulan K-Clique Noki dan MK, ciptaan sepenuhnya dua penyanyi berbakat besar itu.

Lagu Debu kolaborasi Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi ciptaan dan lirik oleh Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam, Acap Salim turut mara ke pentas akhir AJL 37.

Sementara itu, Mokhzani berkata, lagu-lagu yang layak ke SFMM 37 adalah paling sukar untuk dinilai kerana memiliki kreativiti dan kelebihan tersendiri.

"Pada sudut penjurian, saya perlu menyatakan ini adalah SFMM paling sukar untuk saya dan barisan juri memilih 12 lagu terbaik daripada 30 lagu.

"Kerana satunya, semua genre dicantumkan, iaitu 70 peratus daripada 30 lagu bergenre pop dan balada. Selebihnya, lagu pop kreatif dan lain-lain genre.

"Jadi, kami tidak boleh melihat satu genre sahaja dalam mengiktiraf kepada semua karya seni. Disebabkan itu, saya dan barisan juri melihat daripada setiap sudut.

"Saya akui, kebanyakan markah diberikan sangat dekat antara nombor satu sehingga 15. Secara jujurnya, saya berpuas hati dengan lagu yang terpilih, semuanya bagus-bagus," katanya.

Dalam masa sama, kata Mokhzani, populariti lagu dalam media sosial tidak mempengaruhi markah diberikan juri profesional.

Antara barisan penyanyi dan komposer yang bakal berentap pada malam kemuncak AJL 37 di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari tahun depan. - NSTP/Ezairi Samsudin
Antara barisan penyanyi dan komposer yang bakal berentap pada malam kemuncak AJL 37 di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari tahun depan. - NSTP/Ezairi Samsudin

Sebaliknya, juri yang terdiri daripada Mokhzani, Damien, LY, Azlan Abdul Hassan, Jenny Chin dan Cikgu Shafi itu dibuat menerusi struktur melodi, lirik, penilaian vokal penyanyi dalam album dan secara langsung.

"Banyak lagu tular dan menerima tontonan ramai dalam YouTube, tetapi kami tidak terperangkap. Yang penting adalah persembahan atas pentas.

"Saya tidak perlu namakan lagu popular, tetapi kena bagus ciptaannya. Kita juga kena ingat, kriteria lagu AJL bukanlah pada persembahan semata-mata, ia juga diadili menerusi persembahan dalam album dan struktur kreativiti lagu.

"Maknanya perjalanan dan pembikinan melodi bersama lirik memainkan peranan besar.

"Bagaimanapun, saya yakin dengan pemilihan barisan juri kali ini. Barisan juri melihat keseluruhan aspek termasuk mengupas, menganalisis dan mengkaji kekuatan sesebuah karya," katanya.

Turut mara, lagu Kembali Terang ciptaan Senna dan Ajin, manakala lirik oleh Senna nyanyian Marsha Milan Londoh dan lagu Nang dendangan penyanyi Iman Troye ciptaan sepenuhnya oleh Ezra Kong dan A Ramle.

Menepati ramalan, lagu kolaborasi Sona One bersama Joe Flizzow berjudul Suatu Malam Di Temasek turut berjaya melangkah ke AJL 37. Karya itu ciptaan Sona One, manakala lirik oleh Sona One dan Joe.

Lagu Korban nyanyian Ernie Zakri turut memburu gelaran juara lagu. Korban ciptaan sepenuhnya oleh Ernie untuk suaminya, Syamel.

Bersaing buat kali pertama adalah lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos ciptaan sepenuhnya Alif, Romeo, Tam Cobain, Efry Arwis, manakala lirik Alif, Shah Shamshiri dan Romeo.

Seterusnya, lagu Sengsara nyanyian Khai Bahar ciptaan sepenuhnya oleh John Reeves, Firdaus Rahmat dan Omar K.

Selain itu, lagu Irama nyanyian Shiha Zikir ciptaan Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves turut mara serta lagu Mainan nyanyian Naim Daniel. Mainan ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga, manakala lirik oleh Arizs Ab Rahman.

Dihoskan Muaz Mohamed dan Izzue Islam, SFMM 37 menyaksikan 30 lagu bertanding menerusi dua episod berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu.

SFMM 37 diserikan dengan persembahan istimewa penyanyi Ramlah Ram dan Syura menerusi lagu Hati Kama, manakala Farahdhiya serta Elyana mendendangkan lagu Bertakhta Di Hati dan Tak Tercapai Akalmu.