Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Aisha, Aziz nikmati tradisi Aidilfitri serumpun

07 May 2023 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR : Setiap negara mempunyai tradisi dan budaya berbeza dalam meraikan Syawal meskipun serumpun.

Pasangan penyanyi dari Indonesia dan Brunei Darussalam, Aisha Retno, 22, dan Aziz Harun, 24, masing-masing bersyukur diberi kesempatan merasai sendiri perbezaan setiap negara.

Penyanyi kacukan Indonesia dan Malaysia, Aisha berkata, dia dapat meraikan Lebaran dalam dua budaya berbeza berikutan ibunya yang juga penyanyi terkenal era 1980-an dari negara seberang, Jean Retno Aryani.

Aisha atau nama sebenar, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata, sambutan Aidilfitri di Indonesia dan Malaysia sangat berbeza, biarpun bahasa sama.

"Saya boleh katakan sambutan lebih meriah daripada segi pemakaian di Malaysia.

"Setiap hari kami pasti memakai baju cantik dan baharu, di sini. Namun, daripada juadah pagi raya, orang Indonesia lebih menekankan masakan pedas.

"Paling berbeza, hanya satu lagu popular raya di negara seberang, namun di Malaysia ada beribu lagu raya.

Aisha seronok dapat meraikan Syawal dalam dua budaya berbeza. Foto IG Aisha Retno
Aisha seronok dapat meraikan Syawal dalam dua budaya berbeza. Foto IG Aisha Retno

"Lagu Minal Aidin Wal Faizin sahaja popular di Indonesia, itu pun lagu dari Malaysia kalau tak silap saya," katanya kepada BH Online.

Aisha berkata, dia seronok dapat meraikan Syawal dalam dua budaya berbeza.

"Ia sebenarnya memberi manfaat dan boleh menjadi memori yang disimpan buat selama-lamanya. Tidak ramai orang dapat menikmati peluang ini," katanya.

Sungguhpun begitu, Aisha berkata, dia jarang pulang ke kampung halaman di Jakarta dan Surabaya berikutan ramai ahli keluarga sudah tiada.

"Saya sudah lama tidak menyambut Aidilfitri di Jakarta dan Surabaya. Kali terakhir rasanya pada 2017.

"Nenek sudah tiada, jadi tiada alasan untuk kami sekeluarga pulang ke sana. Ibu saudara yang menetap di Indonesia juga sering ke sini.

"Sekiranya ke sana, lebih kepada tuntutan kerja. Seperti bulan lalu, saya ke Indonesia mempromosikan lagu.

"Jadi, kampung saya di Kuala Lumpur. Kalau ada rezeki hendak balik ke Indonesia, saya suka sahaja," katanya yang akan tampil dalam drama Angelz terbitan TV3 tidak lama lagi.

Sementara itu, penyanyi kelahiran Brunei, Aziz atau nama sebenarnya, Abdul Aziz Harun mengakui perkara sama apabila berkesempatan meraikan Lebaran di Taiping, Perak pada Aidilfitri, tahun lalu.

"Saya berpeluang menyambut Syawal di Malaysia disebabkan saya menerima 30 hari tambahan menerusi visa, tahun lalu.

"Jadi, saya putuskan tidak pulang ke Brunei untuk meraikan Syawal. Saya sambut Hari Raya bersama pengurus dan pulang ke kampungnya di Taiping yang juga turut disertai komposer, Ezra Kong.

"Bagaimanapun, saya pulang ke Brunei, tahun ini. Tahun lalu, sambutan di Brunei masih suram berikutan COVID-19, jadi inilah kali pertama Syawal disambut dengan meriah di Brunei selepas pandemik itu," katanya.

Berkongsi lanjut perbezaan raya di Brunei dan Malaysia, Aziz berkata, sambutan Hari Raya di Brunei lebih komersial berbanding Malaysia yang masih mengekalkan elemen tradisional.

"Di Brunei, tiada banyak acara, jadi musim Hari Raya adalah masanya mengadakan acara dan rumah terbuka. Disebabkan itu, sambutannya meriah.

"Seperti keluarga saya, mereka menganjurkan rumah terbuka berasingan untuk keluarga dan rakan-rakan.

"Rumah terbuka kami dihadiri 200 tetamu dalam suatu masa. Tetamu akan keluar dan masuk untuk makan, tetapi tidak melepak serta bersembang.

"Kami juga gunakan khidmat katering, jadi ia tidak ubah seperti kenduri kahwin.

"Juadah wajib dihidangkan seperti pizza, kebab, sate dan sebagainya. Syawal memang orang Brunei akan lepas gian, jadi pelbagai jenis makanan akan dihidangkan," katanya.

Berbeza pengalaman menyambut Syawal di Taiping, pelantun lagu Senyum ini berkata, suasana kampung menebal membuatkannya jatuh hati.

"Secara peribadi, saya suka menyambut Aidilfitri di Malaysia kerana dapat merasai semuanya dihasilkan sendiri.

"Misalnya, juadah makanan dimasak sendiri, manakala sambutan di Brunei agak komersial disebabkan di rumah terbuka menghidangkan makanan dari katering.

"Apabila pulang dari Taiping, saya dapat merasakan sambutan lebih santai dan menyeronokkan.

Ini kerana bila duduk rumah, saya boleh baring di tengah ruang tamu dan sebagainya.

"Jadi, emosi Aidilfitri memang melekat. Satu lagi, ramai yang membeli baju Melayu yang siap di kedai, tetapi di Brunei tetap mengekalkan tradisi membeli kain dan menghantar kepada tukang jahit.

"Seperti bapa akan tetap akan pergi kedai jahit dan tempah kira-kira empat hingga lima pasang baju Melayu," katanya.

Aisha dan Aziz berpadu suara menerusi single duet, Jarak ciptaan Aisha, Romeo dan Glowrush. Single itu hasil kerjasama dua syarikat rakaman, Sony Music Malaysia dan Faithful Music.

Single Jarak dimuatkan dalam album pertama Aziz berjudul Yang Benar.

Berikutan single duet, Aisha dan Aziz digosipkan bercinta, namun mereka menegaskan hanyalah teman rapat.