Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Apabila diusik mengenai hubungannya dengan penyanyi Aziz Harun, Aisha Retno hanya tertawa.
Juara program realiti, Vokal Mania di TV3 itu menjelaskan, dia dan Aziz hanya rakan baik, malah selesa berbincang dan bertukar pandangan mengenai dunia muzik.
Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam berkata, dia berkawan baik dengan semua orang termasuk Aziz.
"Aziz banyak memberi inspirasi mengenai muzik. Ini kerana kerana Aziz lebih berpengalaman memandangkan lebih awal menceburi bidang nyanyian.
"Jujurnya, sudah lama saya meminati karya dihasilkan. Jadi, saya dan Aziz banyak bertukar pandangan mengenai dunia muzik.
"Kami sudah berkawan sejak 2019, tetapi tidak pernah bersemuka. Ini kerana Aziz menetap di Brunei, jadi sukar untuk bertemu.
"Kali pertama kami bertemu dan berbincang, tahun lalu. Jujurnya, saya gembira menjadikan Aziz sebagai idola," katanya kepada BH Online.
Tambah Aisha, dia melihat Aziz sangat berbakat dari penciptaan dan penulisan lirik lagu.
"Tak salah saya banyak belajar daripadanya. Saya bertuah dapat menimba ilmu dengan penyanyi yang berpengalaman," katanya.
Mengulas adakah timbul kerisauan sekiranya hubungan baik disalah anggap, Aisha berkata, dia tidak kisah asalkan gosip tidak keterlaluan.
"Saya dan Aziz pernah membincangkan perkara ini. Kami okay sebab hanya berkawan baik.
"Tetapi, kami pasti tidak selesa jika gosip keterlaluan. Bagaimanapun, saya melihat Aziz seorang yang tenang dan mudah menerima pendapat," katanya yang muncul dengan EP yang memuatkan antara enam hingga tujuh lagu ciptaannya sendiri.
Aisha gembira apabila dipilih menjayakan Konsert Patah Hati bersama penyanyi lain seperti Ernie Zakrie, Noh Salleh, Naim Daniel, Nastia dan Insomniacks di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Mac depan.