Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Ramai ketawa dan terhibur melihat gelagat Ain Edruce, 29, dalam sitkom komedi, Jenaka Kampung Kalut (JKK). Namun, ada pula yang mahu menampar mukanya apabila melakonkan watak antagonis dalam drama Camelia.
Nyata, rezeki sitkom dan drama lakonan itu melayakkan Ain membolosi pencalonan awal, seterusnya dipilih dalam kelompok Top 5 bagi kategori Artis Komedi Popular dan Watak Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.
Ain berkata, ini kali pertama dirinya dapat melepasi kelompok Top 5. Namun, lebih mengejutkan apabila bolos dua kategori.
"Saya anggap ia sebagai rezeki anak, Soraya yang kini berusia lima bulan.
"Sudah tentu, ia juga berkat sokongan dan undian peminat termasuk ahli kelab peminat, Ain Edruce Fan Club (FC) yang teguh menyokong kerjaya saya sejak 2018.
"Jujurnya, saya tidak aktif melobi undian kerana melalui fasa berkahwin, kemudian hamil dan melahirkan anak, namun peminat tetap mengundi, itu sudah membuatkan saya rasa bersyukur," katanya kepada BH Online.
Mengulas pencalonan Artis Komedi Popular, Ain atau nama sebenarnya, Nurul Ain Edruce secara peribadi tidak menyangka dirinya boleh dianggap sebagai pelawak.
"Namun, selalunya orang yang mendekati saya akan anggap saya pandai berlawak dan buat aksi tidak kering gusi. Sikap saya sebenarnya gila-gila dan 'sempoi' sahaja.
"Mungkin juga penyertaan saya dalam pertandingan lawak, Muzikal Lawak Superstar dan sitkom JKK di TV3 yang membuatkan ramai sedar, saya mempunyai bakat ke arah dunia komedi.
"Saya okey sahaja mahu mencuba nasib dan berkongsi bakat yang ada," katanya yang mula mencipta nama menerusi drama Kekasih Paksa Rela.
Bagi kategori Watak Antagonis Popular, Ain berkata, percubaannya membawakan watak Marina dalam drama Camelia di TV3 nyata membuahkan hasil.
"Saya akui, watak Marina amat dibenci dan dikecam. Hinggakan ada yang mahu menampar muka saya.
"Ketika drama Camelia disiarkan, Instagram (IG) saya dihujani komen berbaur kecaman, geram dan tidak puas hati.
"Alhamdulillah, ia bermakna lakonan saya menjadi. Saya akui, suka watak antagonis kerana ia mencabar saya untuk keluar daripada zon selesa.
"Namun, sebagai pelakon, saya terbuka meneroka apa sahaja karakter," katanya.
Dalam perkembangan lain, isteri kepada Amirul Hafiz Mustaffa itu berkata, dia berusaha menurunkan berat badan selepas melahirkan Soraya.
"Saya terikat dengan komitmen sebagai hos program bersama seorang artis senior berpangkat Datuk, jadi saya kena turunkan berat badan dengan segera.
"Saya tidak makan malam dan berjoging pada waktu petang. Saya mahu mendapat potongan badan seperti anak dara, namun agak sukar.
"Tidak mengapa, saya perlahan-lahan kayuh. Selepas bersalin berat saya naik sehingga 70 kilogram (kg). Namun, sekarang sudah turun 60 kg," katanya.
Sempat ditanya keseronokan menjadi ibu, Ain berkata, hidupnya berubah 360 darjah selepas memiliki cahaya mata.
"Hinggakan saya rasa berat hati mahu keluar bekerja dan meninggalkan anak. Namun, demi mencari rezeki, saya kenalah berkorban.
"Zaman solo, waktu tidur sesuka hati. Sekarang, tidak bolehlah seperti itu lagi. Saya kena tunggu anak tidur, barulah saya boleh pejam mata," katanya.
Instagram menjadi pemula ikatan cinta Ain dan suami yang juga usahawan, Amirul Hafiz sebelum mendirikan rumah tangga pada 13 Disember 2019.
Pemegang Ijazah Sarjana Komposisi Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor itu lebih selesa dalam bidang lakonan dan pengacaraan, berbanding muzik.