Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Mencipta sejarah dalam penganjuran lebih tiga dekad, edisi ke-33, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) dilancarkan secara virtual, malam tadi, bagi mematuhi peraturan dan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengawal penularan pandemik COVID-19.
Dipancarkan secara langsung melalui akaun YouTube dan Facebook (FB) BH, majlis pelancaran ABPBH 33 membuka era baharu dalam penganjuran acara anugerah tempatan, apabila muncul acara anugerah pilihan peminat pertama dirasmikan atas talian, sekali gus menerap norma baharu dalam penganjuran kali ini.
Majlis pelancaran yang dikendalikan pengacara dan penyampai radio popular, Haiza Hanafi, turut mengumumkan syarikat elektronik multinasional China, Xiaomi sebagai penaja utama acara anugerah berprestij ini yang mengangkat #ABPBHKITA2020 sebagai tema.
Tampil pada majlis pelancaran maya itu adalah Ketua Integrasi, Komersial dan Multimedia, The New Straits Times Press (NSTP) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABPBH 33, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Presiden Serantau Asia Tenggara Xiaomi, K M Leong.
Bermula jam 9 malam, pelancaran virtual ABPBH 33 diserikan dengan kehadiran bekas pemenang lalu iaitu Bintang Paling Popular ABPBH 2009, Nabil Ahmad dan dua penyanyi yang masing-masing pernah meraih trofi Penyanyi Lelaki dan Penyanyi Wanita Popular iaitu Khai Bahar dan Siti Nordiana.
Paling istimewa, Bintang Paling Popular ABPBH 32, Mira Filzah membuat kemunculan secara maya dalam temuramah langsung menceritakan detik kemenangannya, tahun lalu.
Tidak ketinggalan, dua vokalis wanita yang bersaing dalam kategori Penyanyi Wanita Popular Xiaomi, Ernie Zakri dan Aina Abdul membuat persembahan mendendangkan lagu hit mereka pada penghujung siaran langsung.
Turut dipaparkan, persembahan bakat baharu, Yonnyboii dan Shalma Eliana mendendangkan lagu 'jingle' baharu Xiaomi berjudul Xiaomi For Me yang kali pertama diperdengarkan.