Anugerah Bintang Popular BH 2013

HARAP MAKLUM, SEBAGAI MENGHORMATI INSIDEN YANG MENIMPA PESAWAT MH370, MALAM ABPBH 2013 TELAH DITUNDAKAN KE SATU TARIKH YANG AKAN DIMAKLUMKAN KELAK

Berita

Promosi ABPBH terima kejutan

25 February 2013 @ 3:58PM

Percubaan BH membawa siri promosi jelajah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 ke Kuching, Sarawak buat julung kali mendapat sambutan luar jangkaan dengan kehadiran lebih 5,000 peminat di pusat beli-belah The Spring, di sini semalam.

Selain Bintang Popular ABPBH tahun lalu, Aaron Aziz, rombongan dari Kuala Lumpur itu turut membariskan ramai finalis seperti Zizan Razak, Nabila Huda, Enot, Fara Fauzana, Adibah Noor, Black, Hazama, Jihan, AG serta kumpulan Sleeq.

Fara Fauzana pada program ABPBH artis bersama peminat di The Spring Mall, Kuching, semalam.

Biarpun aktiviti pentas membabitkan selebriti hanya bermula kira-kira jam 2 petang, sebahagian peminat sudah memenuhi ruang legar pusat beli-belah  berkenaan sejak jam 10 pagi.

Pelbagai aktiviti
Calon Pengacara TV Wanita dan Artis Komedi Wanita Popular, Didie Alias, diberikan tanggungjawab mengendalikan acara terbabit bersama Along Cham yang sering menggamatkan suasana dengan idea spontan mereka hingga membuat peminat tidak kering gusi.

Bukan sekadar bermesra dengan khalayak menerusi pelbagai acara sampingan termasuk permainan tiru gaya artis dan sesi solekan membabitkan peminat serta finalis, orangramai juga berpeluang membawa pulang cenderahati BH serta buah tangan yang dibawa barisan calon akhir.

Persembahan artis
Sudah pasti tidak lengkap kunjungan rombongan siri jelajah andai sesi ramah mesra itu tidak dimeriahkan sama dengan nyanyian, malah sorakan terus bergema sebaik saja Sleeq, Black dan RJ, Hazama serta Zizan mempersembahkan dendangan popular masing-masing.

Terdahulu, finalis yang tiba di sini, kelmarin, memperuntukkan masa hampir empat jam mengadakan program amal bersama pelajar Sekolah Sains Kuching yang diisi sesi berkongsi pengalaman, sukaneka dan diakhiri simbolik kunjungan iaitu menanam pokok, yang turut disertai Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Sumber: Berita Harian

www.bharian.com.my